suria

Warga Emas Maut Ditumbuk Bekas Banduan

- Gambar hiasan
BESUT: Seorang warga emas berusia 78 tahun meninggal dunia dipercayai akibat ditumbuk seorang lelaki di tapak pasar pagi Kampung Pengkalan Nyireh dekat sini pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Roni berkata Taib Salleh dari Kampung Air Tawar sebelum itu dipercayai bergaduh dengan lelaki berkenaan.

Beliau berkata lelaki itu pernah dihukum di bawah Seksen 394 Kanun Keseksaan beberapa tahun lalu.

"Dilaporkan berlaku sedikit pertengkaran kecil antara mangsa dan suspek yang berakhir dengan suspek menumbuk mangsa.

"Mangsa kemudian mengadu mengenai perkara itu kepada anak tirinya dalam keadaan kesakitan dan muntah-muntah," katanya kepada pemberita.

Mohd Zamri berkata mangsa kemudiannya dibawa untuk mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Besut sebelum dirujuk ke Hospital Besut.

Mangsa disahkan meninggal kira-kira 12 tengah hari sebaik tiba di hospital.

Beliau berkata pihak polis telah menahan seorang lelaki berumur 62 tahun di Kampung Raja untuk membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu bermotifkan membalas dendam akibat perselisihan faham lama," katanya.

Artikel Lain