suria

Jalani Saringan Sukarela Kesan Virus Zika - Dr Subramaniam

Datuk Seri Dr S. Subramaniam
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai yang pulang dari negara yang mempunyai kes jangkitan virus Zika agar menjalani ujian saringan bagi mengesan sama ada mereka bebas daripada virus itu.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata langkah berjaga-jaga ini berikutan kira-kira 80 peratus mereka yang dijangkiti virus Zika tidak menunjukkan gejala atau simptom dan ini merumitkan pengesanan jangkitan virus itu.


Sehubungan itu, beliau juga menyarankan agar rakyat Malaysia, khususnya yang berulang-alik antara Johor dan Singapura supaya menjalani ujian darah setiap hari.

"Terdapat 150,000 hingga 200,000 berulang alik antara Johor dan republik itu setiap hari dan ini akan meningkatkan risiko virus tersebut merebak ke Malaysia.

"Saya berharap mereka tampil secara sukarela menjalani ujian saringan di kesemua 12 hospital yang mempunyai kemudahan untuk melakukan ujian virus Zika," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Dr Subramaniam berkata demikian berikutan peningkatan kes Zika yang dilaporkan di Singapura kepada 41 sehingga ini.

Beliau berkata virus Zika boleh dikesan dalam tempoh beberapa hari sehingga dua minggu untuk menunjukkan simpton.

Sehubungan itu, beliau menyaran individu yang mengalami tanda-tanda jangkitan virus itu seperti deman, ruam, sakit sendi dan konjuktivitis mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran.

Selain itu, beliau juga menasihatkan wanita mengandung atau merancang untuk mendapatkan anak melakukan ujian darah bagi memastikan mereka bebas virus Zika kerana ia boleh merebak melalui hubungan seks.

Dr Subramanian juga menyaran penyokong Malaysia ke Sukam Olimpik Rio De Janeiro yang lalu tampil secara sukarela menjalani ujian saringan dengan menghubungi hotline Bilik Gerakan Zika di CPRC Kebangsaan iaitu 03-88810200/ 700.

Selain itu, beliau berkata kementeriannya telah melakukan saringan ke atas semua atlet dan anggota kontinjen negara yang menyertai Sukan Olimpik.

Hasilnya, didapati tiada seorang pun dijangkiti virus itu, katanya.

"Pada masa ini, juga tiada pelawat yang disyaki dijangkiti virus Zika hasil saringan tersebut. Tindakan pencegahan dan kawalan vektor di pintu masuk antarabangsa negara juga dipertingkatkan," katanya.

Bagi mencegah jangkitan virus Zika, Dr Subramaniam menyaran semua agensi berkaitan dan rakyat bekerjasama memerangi nyamuk aedes yang merupakan vektor penyakit deman denggi dan virus Zika.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor Datuk Rohaizi Bahari berkata jabatan itu bersedia mengadakan perjumpaan dengan kementerian berkenaan bagi tujuan penyelarasan pemantauan.

"Setakat ini belum ada perbincangan dilakukan," katanya kepada Bernama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain