suria

Dadah 150 Kg Dirampas, Termasuk Syabu RM3 Juta

KUALA LUMPUR: Pelbagai jenis dadah seberat 150 kilogram termasuk 42.5 kg syabu dirampas dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada Sabtu malam.

Selain itu, dua makmal dadah turut dibongkar di Klang dalam siri serbuan di lapan lokasi oleh Jabatan Narkotik Bukit Aman bersama pasukan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Biro Siasatan Kementerian Keadilan Taiwan (MJIB) dalam operasi pada Sabtu malam hingga awal pagi Ahad itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, syabu yang nilainya dianggarkan mencecah RM3 juta dirampas polis dalam serbuan di Jalan Bukit Bintang dan Petaling Jaya.

Enam anggota sindiket ditahan termasuk dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 36 hingga 52 tahun serta tiga lelaki warga Taiwan berusia 24 hingga 40 tahun.

"Pelbagai mata wang asing iaitu 23,000 dolar Taiwan, 1,800 yuen dan 907,000 rupiah juga dirampas," katanya pada sidang media pada Ahad.

Selain itu, Mohd Mokhtar memaklumkan, dua makmal dadah dibongkar dalam siri serbuan dengan hasil rampasan mencecah RM600,000, selain menahan 14 suspek termasuk remaja.

Katanya, suspek berusia antara 17 dan 40 tahun ditahan di tujuh lokasi berasingan di Shah Alam dan Banting.

"Empat daripadanya ditahan di sebuah rumah di Shah Alam, manakala sebuah makmal dadah ditemui ketika serbuan di premis di Klang.

"Kami ingin berterima kasih kepada orang ramai yang membantu memberi maklumat berkaitan kegiatan kumpulan ini. Walaupun memiliki pelbagai peralatan terkini untuk memerangi jenayah, namun senjata paling berkesan adalah bantuan daripada orang ramai. 

"Kami turut merampas beberapa barang kemas bernilai RM30,430 dan 13 kenderaan termasuk Mercedes Benz, BMW dan Toyota Velfire bernilai RM1 juta," katanya sambil menambah suspek kini direman lima hari sehingga 25 Ogos depan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika bersabit kesalahan.





Artikel Lain