suria

Pelabuhan Klang Kembali Jadi Sarang Kaki Judi

SELEPAS menyepi selama kira-kira setahun, pengusaha premis perjudian haram kembali beroperasi di Pelabuhan Klang - menjadikan bandar itu popular di kalangan kaki judi.

Kebanyakan pelanggan yang mengunjungi kedai perjudian di sini adalah golongan belia dan warga asing.

Penduduk dan pengusaha perniagaan di sekitarnya tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa khususnya Majlis Perbandaran Klang (MPK) menutup mata mengenai masalah ini.

Beroperasi di bawah kawalan keselamatan yang ketat dengan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk premis, pengendali menggunakan beberapa kedai kosong di Jalan Cungah dan Lorong Cungah untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Berpandukan maklumat orang awam, StarMetro membuat pemeriksaan secara rambang di kawasan itu dan mendapati terdapat lebih 20 premis perjudian haram di bandar ini - jumlah yang tinggi untuk sebuah bandar kecil.

Terdapat 15 premis perjudian haram beroperasi di Jalan Cungah manakal enam lagi di Lorong Cungah yang terletak bersebelahan.

Terdapat beberapa pusat perjudian haram lagi di Leboh Beringin, Lorong Berangan dan Jalan Kem.

Menurut seorang peniaga kedai runcit, A. John, 61, kewujudan pusat-pusat perjudian haram telah mencemarkan imej bandar berkenaan.

Beliau berkata terdapat terlalu banyak pusat-pusat perjudian di kawasan itu dan ia mencerminkan penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berkuasa termasuk polis dan MPK.

"Aktiviti yang menyalahi undang-undang adalah sangat jelas dan saya tidak faham mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka," katanya.

Seorang lagi penduduk George Teh, 40, berkata kebanyakan pengusaha telah menutup hadapan premis mereka dengan dinding konkrit dan pelanggan perlu menggunakan pintu tepi bersebelahan tangga untuk masuk.

"Pelanggan dikehendaki menekan loceng yang diletakkan di pintu masuk sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam premis.

"Terdapat tanda 'topi keledar tidak dibenarkan' di pintu masuk sebagai isyarat untuk memaklumkan kepada pelanggan bahawa ia adalah sebuah kedai perjudian," katanya.

Tinjauan StarMetro juga mendedahkan bahawa beberapa premis menghalang akses kepada orang luar kerana takut diserbu oleh pihak berkuasa.

Selain daripada pemantauan menerusi CCTV, kebanyakan premis juga menggunakan beberapa individu untuk melihat keadaan sekeliling bagi memberi amaran kepada pengendali jika terdapat kehadiran pihak berkuasa.

Terdapat juga papan tanda 'kedai untuk disewa' diletakkan di hadapan premis untuk mengelakkan perhatian pihak berkuasa.

Kebanyakan pekerja di premis itu termasuk juruwang adalah warga asing yang kebanyakannya dari Indonesia dan Myanmar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain