suria

Proses Damai Kerajaan Filipina-MILF Penting - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesinambungan proses damai di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) adalah penting bagi Malaysia dan rantau ini berikutan peningkatan ancaman kumpulan militan Daesh.    

Perdana Menteri berkata beberapa warga Malaysia juga menyertai Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), yang telah menyatakan ikrar setia kepada Daesh.   

"ASG merupakan ancaman di rantau ini kerana penglibatannya dalam kejadian penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.   

"ASG turut mempunyai hubungan dengan pertubuhan pengganas lain dengan adanya pergerakan dana dan senjata," kata Najib dalam ucapannya semasa melancarkan semula Fasa Pelaksana Perjanjian Damai Mindanao di antara Kerajaan Filipina dan MILF di sini, Sabtu.   

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom, yang kemudian melancarkan majlis itu.

Najib berkata keamanan di Mindanao bakal menjadi langkah pertama ke arah membawa kestabilan dan pembangunan di kawasan itu, yang kelak membantu mengekang radikalisasi dalam kalangan masyarakatnya.   

"Kejayaan proses damai ini bukan sahaja membawa keamanan dan kestabilan kepada Bangsamoro di Mindanao malah, melindungi Asia Tenggara daripada ancaman militan," katanya.   

Menurutnya Malaysia komited menyokong proses damai itu dan yakin bahawa pihak bertelagah juga akan terus komited dalam mencari keamanan yang adil dan berkekalan untuk Bangsamoro.   

"Kedua-dua Kerajaan Filipina dan MILF mestilah kekal setia kepada prosesdamai ini kerana ia adalah pilihan yang praktikal untuk menyelesaikan isu Bangsamoro, "katanya.   

Turut hadir pada majlis itu ialah Penasihat Presiden Filipina mengenaiProses Damai Jesus Dureza, Pengerusi MILF Alhaj Murad Ebrahim, Fasilitator Proses Damai Tengku Datuk Ab Ghaffar Tengku Mohamed dan wakil-wakil kedua-dua pihak termasuk Speaker Dewan Kongres, Yang Dipertua Dewan Negara, pegawai-pegawai kerajaan dan anggota MILF.    

Kerajaan Filipina dan MILF membincangkan pelan tindakan bagi pelaksanaan proses damai itu pada mesyuarat dua hari yang bermula hari ini.

Mesyuarat itu diadakan susulan Deklarasi Kesinambungan Perkongsian di antara Kerajaan Filipina dan MILF bagi Proses Damai Bangsamoro yang dimeterai pada 30 Mei tahun ini.

Bangsamoro, Filipina, MILF

Artikel Lain