suria

Ku Nan Pertikai Nama Parti Bersatu

KUALA LUMPUR: Perkataan 'bersatu' tidak seharusnya digunakan sebagai nama dalam sesebuah parti, termasuk yang terbaharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, penggunaan perkataan itu boleh mengelirukan rakyat kerana ia digunakan secara umum.

"Dia nak tubuh (parti baharu) tak apa. Tapi dia tak boleh guna  'bersatu' kerana ia sesuatu yang "common".

"Jadi saya merayu kepada RoS (Pendaftar Pertubuhan) nak lulus, luluslah. Tapi kalau boleh minta mereka jangan guna pakai 'bersatu'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan jalan sambungan Jalan Jalil Perkasa 7 ke Jalan Barat, Bukit Jalil, di sini, Khamis.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, RoS seharusnya meneliti perkara seperti ini sebelum memberi kelulusan kepada mana-mana parti atau organisasi baharu.

Beliau turut mempertikaikan nama Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga merupakan perkataan biasa dan digunakan secara umum.

"Saya pun tak faham kenapa diluluskan dulu (Amanah). Amanah pun "common".

"Jadi saya harap ketua pengarah RoS boleh tengok benda-benda ini, mereka guna perkataan seperti ini untuk mengelirukan masyarakat."

Mengulas lanjut mengenai parti Bersatu yang ditubuhkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dinaungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Adnan percaya Umno masih menjadi pilihan rakyat.

Katanya, Umno telah melalui pelbagai ranjau, onak dan duri sejak penubuhannya pada 1959.

"Akhirnya kita juga akan mencapai kejayaan, itu kepercayaan saya kerana Umno merupakan parti yang mempunyai fokus, inklusif yang bersama-sama bangsa lain."

Pada Selasa, Muhyiddin menyerahkan dokumen permohonan bagi menubuhkan Bersatu.

Muhyiddin berkata, parti itu memperjuangkan hak semua rakyat termasuk melakukan reformasi institusi secara menyeluruh untuk mewujudkan kerajaan yang bersih, amanah dan berintegriti.

Artikel Berikut