suria

Ahmad Zahid Hadiri Mesyuarat Memerangi Keganasan Di Bali

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan pengamal media dari Malaysia sejurus tiba di hotel penginapan, Selasa. Beliau tiba di Bali bagi menghadiri Mesyuarat Antarabangsa Anti Keganasan, Rabu. -fotoBERNAMA

BALI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Bali untuk menghadiri mesyuarat memerangi keganasan antarabangsa yang akan berlangsung selama sehari di sini, Rabu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tiba di Lapangan Terbang  Antarabangsa Ngurah Rai pada 9 malam dengan diiringi pegawai kanan daripada kementeriannya.

Ketibaan beliau disambut Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

"Mesyuarat Antarabangsa bagi Memerangi Keganasan: Pergerakan Rentas Sempadan oleh Pengganas" bertujuan meningkatkan lagi kerjasama antarabangsa dalam menangani peningkatan ancaman keganasan khususnya pergerakan pengganas rentas sempadan.

Mesyuarat juga akan menumpukan pada kemunculan fenomena baharu 'foreign terrorist fighters' (FTF), pembiayaan kegiatan keganasan serta penyebaran ideologi pengganas menerusi internet dan media sosial.

Mesyuarat itu akan menyediakan peluang kepada semua negara peserta untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam memerangi ancaman keganasan, khususnya pergerakan pengganas di sempadan dan penyeludupan senjata dan program deradikalisasi.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan di sini, berkata peluang itu mungkin termasuk pertukaran pandangan, idea dan amalan terbaik, perkongsian risikan dan maklumat.

Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam memerangi keganasan khususnya dalam meningkatkan kerjasama antarabangsa.

"Kehadiran timbalan perdana menteri sendiri menunjukkan sokongan padu dan komitmen Malaysia dalam menangani ancaman ini, menurut kenyataan itu.
Timbalan perdana menteri akan mengambil peluang itu untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam program Modul Deradikalisasi Bersepadu Untuk Tahanan yang dibangunkan Malaysia.

Ia (modul) akan diedarkan kepada semua perwakilan negara peserta bagi menunjukkan kesediaan Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam program seumpama itu, menurutnya.

Ahmad Zahid, yang mewakili Malaysia, ialah antara 21 pemimpin daripada negara peserta menghadiri mesyuarat yang dianjurkan kerajaan Indonesia.

Indonesia mengalami beberapa serangan pengganas termasuk insiden dua letupan bom di pusat peranginan terkenal dunia iaitu Pulau Bali, yang menjadi tuan rumah mesyuarat ini, pada 2002 dan 2005.

Letupan bom pada 2002 meragut nyawa 202 orang termasuk 38 warga Indonesia dan 88 warga Australia.

Letupan bom pada 2005 membunuh 20 orang termasuk 15 warga Indonesia.

Selepas insiden itu, polis Malaysia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam memerangi kegiatan keganasan dan tahun lepas polis Indonesia menganugerahkan pingat kebesaran Bintang Bhayangkara Nararya kepada dua pegawai kanan polis Malaysia sebagai menghargai khidmat mereka dalam meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam memerangi keganasan.

Dua pegawai polis Malaysia itu ialah Datuk Seri Akhil Bulat dan Datuk Abdul Hamid Bador, masing-masing pengarah dan timbalan pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia.

Artikel Berikut

Nenek Maut Dipenggal Cucu

Artikel Lain