suria

Muhyiddin Serah Dokumen Permohonan Parti Bersatu

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan dokumen permohonan bagi mendaftarkan parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada petang Selasa.

Muhyiddin tiba di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) di sini pada pukul 3.12 petang bagi menyerahkan dokumen berkenaan, dan keluar dari pejabat RoS hampir sejam kemudian.

Muhyiddin berkata, Bersatu merupakan parti yang memperjuangkan hak semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama secara adil dan saksama.

Katanya, ia termasuk melakukan reformasi institusi secara menyeluruh untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, amanah dan berintegriti.

Mengenai kebimbangan bahawa parti baharu itu dikatakan boleh memecah-belahkan rakyat terutama kaum Melayu, Muhyiddin berkata, kenyataan itu dibuat oleh pihak tertentu yang gusar dengan penubuhannya.

"Apa yang penting dalam situasi negara yang mengamalkan negara yang demokrasi, rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk memberikan sokongan atau tidak memberi sokongan kepada mana-mana parti politik yang ada.

"Tidak semestinya ia menyebabkan perpecahan atau perbalahan kerana tujuannya adalah untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang adil, maju dan makmur," katanya kepada pemberita.

Mengenai keahlian, Muhyiddin berkata, ahli biasa terbuka kepada semua warganegara yang berstatus Pribumi iaitu Melayu dan Bumiputera termasuk Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sabah seperti ditakrifkan dalam Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Negeri dan undang-undang negara.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, keahlian juga dibuka kepada warganegara Malaysia yang lain sebagai ahli bersekutu.

"Mereka mempunyai hak sama dengan ahli biasa kecuali untuk mengundi atau bertanding jawatan dalam parti. Namun mereka boleh dilantik dalam mana-mana jawatan parti," ujar Muhyiddin sambil mengesahkan bahawa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan pengerusi Bersatu.

Sehubungan itu kata Muhyiddin, beliau berharap agar permohonan untuk mendaftarkan Bersatu sebagai politik baharu diluluskan.

"Selaras dengan jaminan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa permohonan kami akan dipertimbangkan. Saya berharap permohonan Bersatu akan diluluskan dengan segera," katanya.

Bersatu, Muhyiddin Yassin, RoS

Artikel Lain