suria

50 Peratus Pencarum KWSP Pilih Kadar Lapan Peratus

KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 peratus daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memilih untuk mengurangkan kadar caruman mereka daripada 11 peratus kepada lapan peratus, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata susulan daripada pengurangan itu, kira-kira RM4 bilion yang dimiliki pencarum beredar dalam pasaran untuk merangsang ekonomi.

"Baki lagi 50 peratus pencarum KWSP memilih untuk mengekalkan pada kadar 11 peratus. Itu adalah pilihan mereka.

"Pilihan bagi pengurangan (sebanyak tiga peratus) itu bertujuan meningkatkan perbelanjaan awam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat KWSP di sini, Selasa.

Pencarum KWSP diberi pilihan untuk kekal pada kadar caruman 11 peratus dengan melengkapkan dan menandatangani 'Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun' yang boleh dicetak melalui laman web KWSP www.kwsp.gov.my sejak 2 Februari.

Notis yang telah dilengkapkan perlu diserahkan kepada majikan sebelum dihantar kepada cawangan KWSP terdekat.

Dalam perkembangan persediaan Bajet 2017, Johari berkata Kementerian Kewangan kini mengadakan perbincangan dengan 20 kumpulan tumpuan untuk mendapatkan maklumat balas dari pemegang kepentingan, termasuk awam, organisasi bukan kerajaan dan penggiat industri.

Sebagai contoh, dua timbalan menteri kewangan mengumpul maklum balas berhubung kos sara hidup dan pasaran modal pada minggu lepas, katanya.

Beliau berkata pemegang kepentingan memberi maklum balas mengenai bagaimana kerajaan boleh membantu mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi.-- Bernama

KWSP, Johari Abdul Ghani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain