suria

Penduduk Malaysia 31.7 Juta Orang Pada 2016

PUTRAJAYA: Jumlah penduduk Malaysia pada tahun ini (2016) dianggarkan 31.7 juta orang iaitu meningkat sebanyak 0.5 juta berbanding 31.2 juta orang pada tahun lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata jumlah tersebut menunjukkan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 1.5 peratus bagi tempoh yang sama.

Jumlah penduduk 31.7 juta itu juga merangkumi komposisi jantina iaitu 16.4 juta lelaki dan 15.3 juta perempuan dengan nisbah 107 lelaki bagi setiap 100  perempuan.

"Etnik bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi bagi kategori penduduk warganegara di Malaysia iaitu sebanyak 68.6 peratus diikuti oleh etnik Cina (23.4 peratus), India (7.0 peratus ) dan lain-lain (1.0 peratus).

"Peratusan penduduk bukan warganegara pada tahun ini adalah 10.3 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia," katanya.

Menurut jabatan tersebut, bagi taburan penduduk mengikut kumpulan umur bagi tahun ini tidak menunjukkan perbezaan ketara berbanding 2015.

"Penduduk dalam kumpulan umur kosong hingga 14 tahun berkurang 0.4 peratus pada 2016 (24.5 peratus) berbanding 2015 (24.9 peratus).

"Penduduk dalam kumpulan umur bekerja, 15 hingga 64 tahun, meningkat 0.2 peratus pada 2016 kepada 69.5 peratus berbanding 2015 dan penduduk berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 6.0 peratus bagi tempoh yang sama," katanya.

Bagi peratusan penduduk mengikut negeri, Selangor mencatatkan peratusan negeri penduduk tertinggi pada tahun ini iaitu 19.9 peratus diikuti Sabah (12.0 peratus) dan Johor (11.5 peratus).

"Negeri yang mencatatkan peratusan penduduk terkecil pula ialah Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu masing-masing sebanyak 0.3 peratus," katanya.

Rakyat Malaysia

Artikel Lain