suria

Permintaan Penghantaran Pekerja Sri Lanka Diteliti - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Tenaga Luar Sri Lanka, Thalatha Atukorale (kiri) ketika mengadakan perbincangan dua hala di pejabat Kementerian Tenaga Luar Sri Lanka, Khamis. -fotoBERNAMA
COLOMBO (Sri Lanka): Kerajaan Malaysia akan meneliti permintaan Sri Lanka dan Sime Darby untuk penghantaran 5,000 pekerja negara Asia Selatan itu ke sektor perladangan syarikat-syarikat di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata berikutan kekurangan pekerja yang dihadapi sektor perladangan Sime Darby, syarikat itu telah mengemukakan permintaan melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka supaya pihak Kementerian Tenaga Kerja Luar negara ini memberi kelulusan menghantar lebih ramai pekerja.

"Kita sedang teliti...mungkin akan dibawa ke Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pekerja Asing. Saya tekankan jika Kabinet luluskan perlu ada pusat latihan yang dikendalikan syarikat Malaysia di Sri Lanka agar mereka (pekerja) fahami latar belakang sosial agar tidak timbul kejutan budaya kepada pekerja-pekerja," katanya.

Ahmad Zahid bercakap kepada wakil-wakil media Malaysia di sini pada Khamis.

Beliau tiba untuk lawatan kerja dua hari di Sri Lanka.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Sri Lanka Vajira Abeywardena dan Menteri Tenaga Kerja Luar Thalatha Atukorale di kementerian masing-masing di sini.

Ahmad Zahid berkata buat masa sekarang terdapat 6,500 pekerja Sri Lanka di Malaysia yang terhad kepada sektor tertentu dan diberi kelulusan oleh kerajaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,800 ditempatkan dalam sektor perkilangan, 1,100 (pembantu rumah) manakala 900 orang dalam sektor perkhidmatan.

Artikel Lain