suria

Sindiket Edar Dadah Warga Nigeria Tumpas, Syabu RM3.8 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR: Sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga Nigeria berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya tiga lelaki warganegara berkenaan berserta syabu seberat 25 kilogram bernilai RM3.8 juta di dua lokasi di Selangor, pada Selasa dan Rabu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata lokasi berkenaan ialah Lapangan Terbang Antarabngsa KL (KLIA), Sepang dan sebuah pangsapuri di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, dekat sini.

Beliau berkata hasil risikan, Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) bertindak melakukan pemeriksaan di kargo KLIA dan menemui sebuah bagasi berwarna coklat yang mencurigakan kira-kira 7 petang, Selasa lepas.

"Setelah diperiksa kami menemui 11 paket syabu mampat yang dibalut plastik hitam seberat 22 kg disorokkan di dalam sebuah bagasi di KLIA yang baru tiba dengan penerbangan Turkish Airlines.

"Bahan terlarang itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan memandangkan ia mendapat permintaan tinggi di negara ini," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, Khamis.

Katanya dalam serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, semalam, polis menahan dua lelaki warga Nigeria termasuk seorang pelajar kolej swasta kerana memiliki syabu seberat 3kg.

"Dalam serbuan 2.30 pagi itu, polis menemui syabu berkenaan yang disorokkan di dalam dua kotak makanan bijirin bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Hasil soal siasat, polis menahan seorang lagi lelaki warga Nigeria di kawasan sama dan merampas syabu seberat 102g untuk diedarkan kepada penagih di sekitar ibu kota," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa bagasi yang ditemui di KLIA mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

"Suspek yang ditahan ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan penemuan bagasi yang berisi dadah di KLIA itu. Siasatan mengenai perkara ini masih dijalankan," katanya.

Semua suspek berusia antara 31 dan 39 tahun kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.-- Bernama

syabu, sindiket

Artikel Berikut

Artikel Lain