suria

Guan Eng Dilihat Memasuki Kediaman Yang di-Pertua Negeri

PETALING JAYA: Kenderaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilihat memasuki kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas tidak lama selepas beliau mengadakan sidang akhbar berhubung kemungkinan pilihan raya tergempar diadakan.

"Kereta rasmi ketua menteri dilihat memasuki pintu masuk utama kediaman Yang di-Pertua Negeri pada pukul 4.15 petang.

"Sebelum itu, kereta rasmi setiausaha kerajaan negeri juga dilihat memasuki kediaman Seri Mutiara," menurut posting di laman Facebook 'CM Lim Guan Eng', Rabu.

Terdahulu pada sidang media, DAP menegaskan ia tidak akan membuat keputusan unilateral dalam mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang.

"Kami mahu teruskan perbincangan dengan rakan-rakan kami. Apabila membuat keputusan bersama, perbincangan mengambil sedikit masa.


"Sudah tentu, ia tidak akan mengambil masa yang lama tetapi kami mahu memberikan masa yang mencukupi," katanya.

Guan Eng dilihat meninggalkan kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri pada pukul 5.10 petang.

Turut dilihat meninggalkan kediaman Seri Mutiara itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Farizan Darus.

Cakap-cakap bahawa pilihan raya mengejut di negeri ini akan diadakan telah bertiup kencang selepas Guan Eng berdepan dengan dakwaan rasuah pada 30 Jun.

Awal petang ini, ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Jawatankuasa DAP negeri telah diarahkan untuk menghadiri sesi perbincangan bersama yang diadakan di Komtar, dipercayai berhubung pilihan raya tergempar.

Artikel Lain