suria

Ibu, Anak Antara Lapan Ditahan Kes Pecah Rumah, Premis Perniagaan - Polis

SEREMBAN: Ibu dan anak antara lapan yang ditahan Isnin lepas kerana dipercayai terbabit kes pecah rumah dan premis perniagaan di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, ibu berumur 38 tahun dan anak lelakinya 18 tahun bersama tangkapan lain ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Lavender Height di sini.

"Pada Jumaat lepas, sebuah kedai tayar di kawasan perindustrian Taman Tasik Jaya telah dipecah masuk dan bertindak atas maklumat orang awam, polis telah menjumpai sebuah kereta Perodua Myvi berhampiran kawasan kejadian.

"Pemeriksaan di dalamnya menemukan barang yang digunakan untuk pecah rumah dan dokumen ... dan berdasarkan alamat di dalam dokumen tersebut, polis telah buat serbuan di Lavender Height dan menahan lima lelaki dan tiga wanita berusia 18 hingga 38 tahun pada Isnin lepas," katanya dalam sidang media di sini, Rabu.

Muhamad Zaki berkata dalam serbuan itu, dua buah kereta iaitu jenis Proton Wira dan Iswara turut dirampas.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati kedua-dua buah kereta itu juga mempunyai barang diragui dan peralatan pecah rumah.

"Lima daripada mereka didapati positif dadah dan kesemua mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau antaranya dikehendaki di Perak dan Mantin," katanya. 

Muhamad Zaki berkata berdasarkan siasatan, terdapat bukti yang menunjukkan kumpulan ini terlibat dalam empat kes pecah rumah dan premis perniagaan.

"Kita akan jalankan siasatan bagi melihat sama ada mereka terlibat dengan kes-kes lain. Saya percaya jenayah yang dilakukan kumpulan ini juga berpunca daripada ketagihan dadah memandangkan kebanyakan daripada mereka positif dadah.

"Kita juga percaya kereta-kereta ini digunakan untuk melakukan jenayah dengan bertukar-tukar kereta bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata mereka direman bermula semalam hingga esok untuk siasatan.-- Bernama

Artikel Lain