suria

Ahmad Bashah Hanya Jalani Pemeriksaan Biasa

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berada dalam keadaan sihat dan hanya menjalani pemeriksaan biasa di Kedah Medical Central (KMC) Isnin.

Setiausaha Akhbarnya, Nahar Tajri berkata, Ahmad Bashah bertemu doktor pada kira-kira pukul 10 pagi selama 30 minit bagi membincangkan mengenai kesihatannya.

"Selain menjalani pemeriksaan, Ahmad Bashah turut berbincang dengan doktor mengenai keadaan semasa dan cara penjagaan kesihatannya," katanya menerusi satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beberapa keping gambar menunjukkan kereta rasmi yang membawa Ahmad Bashah berada di hadapan KMC, viral di laman sosial.

Ahmad Bashah menjalani pembedahan kecil di Hospital Pulau Pinang pada 6 Jun lalu akibat komplikasi usus dan kembali bertugas pada 3 Julai lalu.

Beliau sebelum itu dimasukkan ke KMC selepas pitam ketika menghadiri mesyuarat dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Kedah pada 4 Jun lepas.

Artikel Lain