suria

Pemimpin Malaysia - Singapura Saksi MoU Projek Rel KL-Singapura

Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA: Pemimpin Malaysia dan Singapura bakal menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) mengenai projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura pada Selasa.

Ia diadakan sempena kunjungan sehari Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ke Malaysia esok.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee semasa kunjungan itu akan menyaksikan acara MoU tersebut antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Cadangan laluan sejauh 350 kilometer itu bermula di Bandar Malaysia, tujuh kilometer daripada pusat bandar raya Kuala Lumpur dan berakhir di Jurong East, Singapura.

Cadangan perkhidmatan tren tersebut dijangka mengurangkan masa perjalanan hingga kira-kira 90 minit berbanding lima jam melalui jalan raya antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Ia dijangka mempunyai lima stesen transit iaitu Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Wisma Putra turut menyebut Lee dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Najib untuk membincangkan isu dua hala yang mempunyai kepentingan bersama.

Malaysia dan Singapura menikmati hubungan baik dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan, sosial, pendidikan, pertahanan dan keselamatan selain hubungan antara rakyat dengan rakyat.

Pada 2015, Singapura merupakan rakan dagang global kedua terbesar Malaysia dan rakan dagang terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatat RM190.6 bilion (US$48.8 bilion) pada 2015.

Artikel Berikut

Artikel Lain