suria

Timbalan Naib Canselor UTeM Terkandas Di Turki

Seorang lelaki mengibarkan bendera Turki di hadapan Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki ekoran insiden rampasan kuasa yang berlaku di negara itu. Foto Reuters

MELAKA: Seorang staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dilapor terkandas di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki ekoran insiden rampasan kuasa yang berlaku di negara itu.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, yang terkandas ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Jailani Md Nor yang kini dalam keadaan selamat di lapangan terbang itu.

Mohd Jailani dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Prof Madya Dr Azma Putra menghadiri International Congress in Sound and Vibration pada 10 hingga 14 Julai di Athens, Greece, katanya menerusi kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut laporan, kenyataan tentera yang disiarkan media Turki pada Jumaat menyebut angkatan tentera merampas kuasa sepenuhnya di negara berkenaan, bagaimanapun Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pada awal Sabtu bahawa cubaan rampasan kuasa itu telah pun gagal dan menggesa rakyat supaya menjunjung demokrasi.

Sementara itu ketika dihubungi Bernama, Mohd Jailani berkata, keadaan di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki dalam keadaan tenang dan kelihatan dua kapal terbang telah berlepas.

Katanya, beliau bersama 43 rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang itu dalam keadaan selamat dan sedang menunggu penerbangan untuk pulang ke Malaysia tidak lama lagi.

"Jadual penerbangan ada nyatakan kira-kira 40 atau 50 minit lagi (untuk berlepas) tetapi masih belum nyatakan pintu mana, saya dan yang lain masih menunggu makluman terkini.

"Saya tengok ada dua kapal terbang sudah berlepas. Alhamdulillah semuanya selamat dan tenang setakat ini," katanya.

Mohd Jailani berkata, beliau dijadualkan berlepas pada 2 pagi waktu tempatan dan penerbangannya telah dijadual kembali untuk berlepas pada 11.05 pagi waktu tempatan.

Beliau berkata, lapangan terbang itu kini penuh sesak dengan antara 8,000 hingga 10,000 orang yang terkandas.

"Lapangan terbang ini dikawal oleh pihak berkuasa jadi tiada sesiapa dibenarkan keluar dan masuk dari lapangan terbang, maka kami rasa selamat berada di dalam ini," katanya.

Katanya, seorang lagi rakannya Azma Putra yang mengikuti program yang sama di Greece tidak bersamanya di lapangan terbang itu. - Bernama

Artikel Lain