suria

Sukar Laksana Cadangan 'Hanya Penumpang Berada Di Terminal' - Tiong lai

Datuk Seri Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR: Konsep terbuka lapangan terbang di Malaysia menjadikan cadangan untuk membenarkan hanya penumpang boleh berada di kaunter daftar masuk sukar dilaksanakan.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya akan berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk melihat sama ada ia mampu dilaksanakan dan mencari cara yang berkesan untuk memastikan keselamatan di lapangan terbang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat berkata kerajaan sedang menimbangkan cadangan untuk membenarkan hanya penumpang berada di dalam terminal di semua lapangan terbang utama di Malaysia bagi meningkatkan tahap keselamatan.

"Keselamatan di lapangan terbang adalah sangat penting dan kami telah meningkatkan tahap keselamatan di KLIA dan KLIA2," kata Tiong Lai pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad(KSM), salah satu cabang pelaburan MCA di Wisma MCA pagi Sabtu.

Malah katanya, isu keselamatan di lapangan terbang telah pun dibangkitkan selepas serangan ke atas lapangan terbang di Brussels, Belgium dan Istanbul, Turki.

Antara langkah yang dipertimbangkan adalah mengharamkan kenderaan daripada menunggu di tempat menurun dan mengambil penumpang dan menggunakan kakitangan bersenjata dan yang lebih terlatih.

Artikel Lain