suria

Rayani Air Ada Peluang Beroperasi Semula

PETALING JAYA: Rayani Air berpeluang untuk beroperasi semula walaupun pihak berkuasa telah membatalkan lesen syarikat penerbangan itu, baru-baru ini.

Malah, syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu masih boleh mengekalkan nama Rayani Air untuk operasi penerbangan komersialnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dalam satu kenyataan kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Rayani Air perlu membuat permohonan baharu bagi Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada suruhanjaya itu dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, bagi membolehkan ia beroperasi semula sebagai syarikat penerbangan komersial berjadual.

Menurut jurucakap Mavcom, setakat ini suruhanjaya itu masih belum menerima sebarang cadangan daripada Rayani Air berhubung permohonan baharu ASL.

Katanya, prosedur permohonan bagi Rayani Air masih sama seperti biasa, walaupun lesen syarikat penerbangan itu telah dibatalkan sebelum ini.

“Mereka boleh membuat permohonan baharu ASL menggunakan apa sahaja nama termasuk Rayani Air,” ujar jurcakap suruhanjaya itu kepada mStar Online.

Mavcom berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan portal berita ini pada Rabu bahawa pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran membayangkan syarikat penerbangannya akan kembali beroperasi, dengan membuat permohonan bagi mendapatkan lesen.

Jurucakap Mavcom berkata, permohonan dinilai berasaskan beberapa kriteria, antara lain termasuk pengalaman dan kecekapan pasukan pengurusan, kebolehlaksanaan pelan perniagaan yang dicadangkan dan daya tahan kewangan perniagaan.

Menurut jurucakap itu lagi, insiden yang berlaku kepada Rayani Air menjadi peringatan bahawa operasi penerbangan komersial berjadual sangat mencabar dan memerlukan tahap perancangan dan kewangan yang tinggi.

Katanya, ia termasuk kemahiran beroperasi dan keupayaan untuk berjaya, lebih-lebih lagi persekitaran yang begitu kompetitif di mana syarikat penerbangan beroperasi di bawah asas komersial yang kukuh.

“Oleh itu, prasyarat diperlukan untuk menjadi pemain industri ini. Mavcom akan memastikan hanya syarikat yang berkelayakan dan sedia akan dibenarkan untuk menyertai industri,” ujar jurucakap suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, Mavcom hanya akan memulakan proses penilaian permohonan Rayani Air setelah menerima permohonan lengkap bersama bayaran yang ditetapkan.

“Permohonan yang tidak lengkap boleh menyebabkan kelewatan memproses permohonan tersebut dan berkemungkinan ditolak. 

“Mavcom hanya mengeluarkan ASL sekiranya pemohon memenuhi kriteria yang ditetapkan, dan berkeupayaan dari segi kewangan dan komersial,” katanya sambil menambah bahawa proses permohonan ASL mengambil masa minimum 90 hari.

Difahamkan, Rayani Air perlu memohon ASL daripada Mavcom terlebih dahulu, sebelum mendapatkan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Bercakap kepada mStar Online, Ravi berkata, beliau akan memohon ASL dan AOC dalam waktu terdekat dan ketika ini urusan kertas kerja bagi permohonan sedang disiapkan.

“Ia masih dalam peringkat kertas kerja untuk dikemukakan kepada Mavcom. Saya berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membuat permohonan lesen di samping berharap mendapat kerjasama yang baik daripada Kementerian Pengangkutan, Mavcom dan DCA,” katanya.

Terdahulu, Ravi memberitahu mStar Online bahawa beliau kini dalam usaha untuk menghidupkan kembali Rayani Air, sambil menambah bahawa pengurusan baharu dan operasi syarikat penerbangan itu nanti akan dikendalikan pihak pelabur.

Pada 13 Jun lalu, Mavcom membuat keputusan membatalkan ASL milik Rayani Air kerana telah melanggar syarat-syarat lesen berkenaan selain kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial. Ia diikuti pembatalan AOC oleh DCA pada hari sama.

Rayani Air, Mavcom, Ravi Alagendrran, ASL, AOC

Artikel Lain