suria

Johor Kenakan Tindakan Terhadap Syarikat GLC Sebabkan Pencemaran

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
KOTA TINGGI: Sebuah kilang kelapa sawit milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bakal menghadapi tindakan undang-undang kerana menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Johor, dua hari lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata syarikat GLC itu yang terletak di Ulu Remis, antara Kota Tinggi dan Kluang dikenal pasti sebagai punca pencemaran berkenaan.

"Kita telah ambil sampel air dari sungai itu dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

"Keputusan dijangka dalam seminggu ini dan kita bercadang untuk menyaman syarikat itu kerana telah menyebabkan pencemaran dan mengganggu kesejahteraan penduduk sekitar," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat termasuk GLC, syarikat berkaitan kerajaan negeri atau persendirian yang didapati cuai dan menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar sebagai pengajaran.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika mengulas mengenai status terkini pencemaran ammonia di sungai berkenaan.

Pada awal pagi Selasa, SAJ Holdings telah mengesan tiga loji rawatan air iaitu Sungai Johor, Semanggar dan Tai Hong mencatatkan kadar ammonia yang tinggi sehingga menjejaskan bekalan air mentah kepada 120,000 pemegang akaun di lima kawasan.

Kawasan terlibat ialah Skudai, Kulai, Iskandar Puteri, Tanjung Bin Powerplant dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Pada Rabu, dua daripada tiga loji rawatan air yang terjejas iaitu Sungai Johor dan Semanggar telah kembali beroperasi seperti biasa.


Terdahulu, Mohamed Khaled merasmikan pecah tanah rumah mampu milik Johor dan melancarkan projek pembangunan komprehensif Bandar Inovasi dikenali sebagai Innocity di Kota Tinggi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain