suria

BNM Turunkan 25 Mata Asas OPR Kepada 3 Peratus

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata pada masa yang sama, kadar tertinggi dan terendah bagi koridor OPR juga dikurangkan, masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Pelarasan terhadap OPR bertujuan memastikan tahap akomodatif monetari kekal konsisten dengan pendirian dasar bagi memastikan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang mampan dalam keadaan inflasi yang stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan yang kukuh dalam ekonomi," katanya.

Kali terakhir bank pusat membuat pelarasan OPR ada Julai 2014 dengan menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Menurut BNM, permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu pertumbuhan utama dengan penggunaan swasta akan disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan dan guna tenaga, serta langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Sungguhpun pelaburan dalam sektor minyak dan gas semakin sederhana, pelaburan keseluruhan dijangka disokong oleh pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan," katanya.

Eksport dijangka kekal lemah berikutan permintaan yang lembap daripada negara perdagangan utama Malaysia, kata BNM.

Secara keseluruhan, katanya, meskipun ekonomi negara dijangka terus berkembang pada tahun 2016 dan 2017, persekitaran global yang tidak menentu mungkin akan memberi kesan terhadap prospek pertumbuhan Malaysia.

Ia berkata inflasi lebih rendah berikutan luputnya kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 dan dijangka kekal stabil dalam keadaan harga tenaga dan komoditi yang lembap serta inflasi global yang pada amnya rendah.

Sehubungan dengan itu, katanya, inflasi diunjurkan lebih rendah pada 2 3 peratus pada tahun 2016, berbanding dengan unjuran awal pada 2.5 3.5 peratus dan terus stabil pada tahun 2017.

Keadaan kewangan domestik secara keseluruhan, katanya, kekal stabil sejak mesyuarat MPC sebelum ini dan pasaran kewangan terus berfungsi dengan teratur.

"Risiko ketidakseimbangan kewangan telah reda. Langkah-langkah kehematan makro dan mikro yang dilaksanakan serta pengawasan penyeliaan telah mewujudkan piawaian pinjaman yang lebih berhemat dan membendung aktiviti spekulatif dalam pasaran harta tanah," katanya.

Prospek pertumbuhan global rentan kepada risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah berikutan kesan yang mungkin timbul daripada referendum EU di United Kingdom, kata BNM.

"Pasaran kewangan antarabangsa juga terdedah kepada turun naik yang lebih ketara pada masa akan datang. Sehubungan dengan ini, keadaan monetari global dijangka kekal sangat akomodatif," katanya.

Di Asia, ia berkata, kelemahan sektor luaran yang berterusan telah memberi kesan kepada pertumbuhan, meskipun permintaan dalam negeri kekal menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Melangkah ke hadapan, tanda-tanda semakin nyata bahawa momentum pertumbuhan ekonomi utama menjadi semakin sederhana," katanya. - BERNAMA

BNM, OPR

Artikel Lain