suria

Nga Maafkan Peserta Protes 'Duit Raya'

Sebahagian Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan Selangor berarak ke Ibu Pejabat DAP bagi menyerahkan memorandum terhadap Nga Kor Ming yang didakwa menghina umat Islam di Jalan Pudu pada Selasa.

PETALING JAYA: Tanpa menyatakan permohonan maaf, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebaliknya memaafkan sekumpulan penunjuk perasaan di kalangan Pemuda Umno yang menganjurkan demonstrasi terhadapnya.

Menurut Ahli Parlimen Taiping itu, beliau memaafkan kumpulan berkenaan atas semangat Hari Raya yang disambut umat Islam.

"Sempena bulan Syawal, secara peribadi saya memaafkan mereka atas semangat Hari Raya Aidilfitri bagi kelakuan biadap mereka. Tetapi rakyat harus ingat Umno tidak lagi relevan untuk memimpin negara ini.

"Malaysia layak menikmati masa depan yang lebih baik, kita memerlukan sebuah kerajaan baharu pada pilihan raya akan datang," katanya menerusi posting di Facebook pada Rabu.

Pada Selasa, kumpulan Pemuda Umno yang kebanyakkannya memakai baju berwarna merah mengadakan demonstrasi di hadapan Ibu Pejabat DAP Kebangsaan di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap Nga yang didakwa tidak menghormati Islam.

Selain Pemuda Umno, pelbagai pihak lain termasuk Pemuda PAS menuntut Nga supaya memohon maaf terhadap umat Islam berhubung entri kontroversi berkenaan.

Minggu lalu, Nga memuat naik dua status bergambar yang menyamakan sedekah duit raya sebagai rasuah dan 'dedak' selain mengucapkan Selamat Hari Raya berlatar belakangkan bendera Amerika Syarikat dengan tangan berdoa berimejkan rumah api yang merupakan simbol agama Kristian.

Bagaimanapun Nga menafikan memuat naik posting berkenaan dan mendakwa menjadi mangsa fitnah politik.

Nga Kor Ming, DAP, Pemuda Umno

Artikel Lain