suria

Kelab NKUB1M Gesa PDRM Siasat Nga Ikut Akta Hasutan

KUALA LUMPUR: Kelab Naib Ketua Umno Bahagian 1Malaysia (NKUB1M) menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan terhadap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung kenyataan duit raya pada minggu lalu.

Pengerusinya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus berkata, sehingga kini banyak laporan polis dibuat terhadap tindakan Ahli Parlimen Taiping itu yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Kelab Naib Ketua Umno Bahagian 1Malaysia menggesa PDRM untuk menyiasat secara terperinci perbuatan Nga Kor Ming yang kami dapati termasuk dalam satu perbuatan jenayah di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1)(b) dan (c) Akta Hasutan 1948.

"Banyak laporan polis dibuat terhadap beliau (Nga), jadi pihak polis perlu segera membuka kertas siasatan," katanya pada sidang media yang dihadiri 58 ahli di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.


Minggu lalu, Nga memuat naik dua status bergambar yang menyamakan sedekah duit raya sebagai rasuah dan 'dedak' selain mengucapkan Selamat Hari Raya berlatar belakangkan bendera Amerika Syarikat dengan tangan berdoa berimejkan rumah api yang merupakan simbol agama Kristian.

Bagaimanapun Nga menafikan memuat naik posting berkenaan dan mendakwa menjadi mangsa fitnah politik.

Mohammad Anuar yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Temerloh berkata, kelab itu turut mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di atas perlakuan Nga yang menyalahi Seksyen 211(1) dan Seksyen 233 Akta berkenaan.

Beliau berkata, Kelab Naib Ketua Umno Bahagian 1Malaysia tidak berminat dengan sebarang permohonan maaf daripada Nga, malah wakil rakyat itu tidak akan didesak untuk berbuat demikian.

"Kami juga tidak akan mengendahkan sebarang tindakan mitigasi atau 'damage control' yang mungkin dibuat oleh parti DAP atau mana-mana pemimpin kanan parti berkenaan untuk meredakan kemarahan rakyat dengan memberi pelbagai justifikasi berhubung isu tersebut," katanya.

Tindakan Nga, katanya, disifatkan sebagai biadap, tidak bertamadun dan anti-tesis kepada sosio-budaya Malaysia.

"Nga Kor Ming telah mencemari kedudukan beliau selaku wakil rakyat yang bergelar 'Yang Berhormat' - gelaran yang membawa maksud mempunyai hormat.

"Nga Kor Ming jelas tidak menghormati orang lain dan tidak mempunyai kehormatan diri, lebih layak digelar 'Yang Biadap', yang layak ke muka pengadilan dan mengundur diri sahaja," katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Anuar berkata, Nga tidak layak menduduki kerusi di dalam mana-mana dewan untuk menggubal undang-undang di Malaysia.

Katanya, kelab itu menegaskan bahawa perbuatan Nga mengguris dan melukakan hati masyarakat Melayu Islam di Malaysia secara mendalam.

"Sifat berdolak-dalih beliau yang ingin menafikan 'posting' beliau atas penulisan tersebut bertujuan melukakan hati orang Melayu Islam," kata Mohammad Anuar.

Pada sidang media, seramai 58 daripada 186 ahli Kelab Naib Ketua Umno Bahagian 1Malaysia, dengan masing-masing memegang kertas yang tertera "Tiada maaf bagimu! Nga Kor Ming BiaDAP..."

NKUB1M, Nga Kor Ming, Hari Raya

Artikel Lain