suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Peniaga Nyaris Maut Ditembak

JOHOR BAHARU: Seorang peniaga nyaris maut apabila dipercayai diserang dua penjenayah yang melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian di hadapan rumahnya di Taman Seri Fajar, dekat Batu Pahat, Isnin malam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kejadian berlaku kira-kira 10 malam sejurus mangsa yang dikenali sebagai Cheng, 40, dan seorang pembantunya baru selesai berniaga di sebuah pasar mini di Semerah, Batu Pahat.

"Mangsa (Cheng) bersama pembantu wanita berkenaan yang menaiki kenderaan Mitsubishi Triton dipercayai telah diekori sebuah kereta Perodua Myvi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Apabila tiba di rumah, turun seorang penjenayah dari kereta Perodua Myvi tersebut lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa yang masih berada dalam kenderaannya," katanya yang dihubungi di sini, Selasa.

Abdul Wahib berkata Cheng kemudian sempat mengundurkan keretanya lalu melanggar kereta penjenayah terbabit yang berada di belakang keretanya.

Beliau berkata menyedari tindakan Cheng, penjenayah tersebut bertindak masuk semula ke dalam keretanya lalu kedua-duanya melarikan diri.

Katanya, kereta kedua-dua penjayah berkenaan dipercayai mengalami kerosakan, namun, Cheng tidak mengalami kecederaan serius dan dia kini dirawat di Hospital Putra, Batu Pahat.

Polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu termasuk motifnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh orang, katanya. 

Batu Pahat

Artikel Lain