suria

Lemas Ketika Cuba Keluarkan Tali Pancing Tersangkut

KUANTAN: Seorang pemancing lemas apabila dia cuba mengeluarkan tali pancingnya yang tersangkut di dalam sebuah kolam di Simpang Pelangai, Bentong petang Isnin.

Dia dipercayai terkena renjatan elektrik yang dipasang di dalam kolam tersebut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata mangsa ialah Norazli Ramli, 29, dari Sungai Gapoi Telemong, Karak.

"Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa dipercayai terjun ke dalam lombong berkenaan setelah tali pancingnya tersangkut pada sangkar ikan.

"Namun dia tidak timbul-timbul sehingga menyebabkan anak saudaranya turut terjun ke dalam lombong bagi mencarinya, namun mangsa tidak ditemui.

"Anak saudara mangsa juga dilapor terkena renjatan elektrik menyebabkannya segera naik ke darat," katanya kepada Bernama.

Abang ipar mangsa, Addy Saiful Mohd Sies, 29, kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 10.35 malam.

Mohamad Mansor berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan pada pukul 8 pagi tadi oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Karak dan berjaya menemui mayat mangsa pada pukul 10.20 pagi, kira-kira 12 meter dari tebing kolam sedalam tiga meter itu.

Mayat mangsa yang bekerja sendiri dihantar ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

Mohamad Mansor berkata lombong itu beroperasi sekitar tahun 1960-an dan dijadikan kolam membela ikan talapia merah sejak 30 tahun lalu dengan terdapat kira-kira 120 buah sangkar.

Lemas

Artikel Sebelum

Artikel Lain