suria

Pilihan Raya Mengejut Belum Dibincang - DAP

Setiausaha Publisiti DAP, Anthony Loke (duduk, dua dari kanan) bersama pimpinan tertinggi PKR termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PETALING JAYA: Pakatan Pembangkang mengakui pilihan raya mengejut di Pulau Pinang merupakan salah satu pilihan kerajaan DAP di negeri itu selepas Ketua Menteri, Lim Guan Eng diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Setiausaha Publisiti DAP, Anthony Loke bagaimanapun berkata cadangan berkenaan belum dibincangkan oleh pimpinan parti itu buat masa ini.

"Itu hanya khabar angin dari media, belum ada keputusan daripada DAP. Pimpinan DAP Pusat belum bincang kemungkinan itu.

"Itu hanya option. Kalau ada niat untuk buat baru (pilihan raya mengejut) kita akan bawa agenda itu kepada perbincangan dengan rakan-rakan Pakatan Harapan.

"Pilihan itu terbuka tapi belum ada ke tahap itu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Selain itu, Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata isu pilihan raya tergempar di Pulau Pinang tidak berbangkit.

"Isu belum berbangkit, kita tak bincang dalam mesyuarat hari ini," katanya.

Dilaporkan bahawa DAP telah mencadangkan dua pilihan sebagai tindak balas kepada tuduhan rasuah yang difailkan terhadap Lim.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, salah satu daripadanya ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi bagi menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.

Pilihan satu lagi pula ialah menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan selewat-lewatnya bulan Ogos 2018.

Tambah Dr Wan Azizah, Majlis Presiden Pakatan Harapan juga menyokong pendirian kerajaan DAP Pulau Pinang bahawa Guan Eng tidak perlu bercuti atau meletakkan jawatan kerana menyifatkan beliau merupakan 'mangsa politik' bagi mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN).

DAP, Pulau Pinang, Pakatan harapn

Artikel Lain