suria

Usah Berprasangka Dengan Sekolah Pondok - Mufti Kelantan

Mohamad Shukri Mohamad. Foto: Sinar Harian.

KOTA BAHARU:  Orang ramai diminta supaya tidakmencurigai madrasah, sekolah pondok atau sekolah aliran Arab dengan mengaitkannya dengan golongan berfahaman ekstrem seperti Daesh.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata institusi itu tidak pernah mengajar atau melatih golongan ekstrem, malah mereka diajar supaya menghormati semua fahaman agama.

"Kita bersyukur dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan setakat ini tiada madrasah di negara ini yang menjadi kilang atau tempat untuk melatih militan Daesh atau menerapkan fahaman ekstrem. 

"Ia adalah satu kenyataan yang tidak boleh disangkal kerana sekolah agama atau Arab yang bertaburan di seluruh negara tak pernah mendidik pelajar ke arah fahaman ekstremis," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, Selasa.

Pada 9 Julai lepas, Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa memantau semua madrasah di negara ini untuk memastikan tempat pengajian itu tidak terbabit dengan aktiviti ancaman kumpulan militan Daesh. 

Beliau dilaporkan sebagai berkata setakat ini pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri mendapati tidak ada pembabitan madrasah dengan kegiatan militan Daesh.  -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain