suria

Pakatan Pembangkang Baharu Akan Dilancarkan Tidak Lama Lagi

Lina Soo.

SIBU: Sebuah pakatan pembangkang baharu yang dikenali sebagai Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) akan dilancarkan tidak lama lagi, kata Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Lina Soo.

Beliau berkata Saksama terdiri daripada tujuh parti politik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Bercakap pada sidang media di sini Ahad, Soo berkata gabungan parti baharu itu sedang ditubuhkan kerana Pakatan Rakyat gagal memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, pakatan pembangkang itu telah berpecah-belah dan sudah tidak lagi sehaluan.

Saksama terdiri daripada STAR, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU),  Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP) , Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Alternatif Rakyat dari semenanjung.

"MUPP di bawah presidennya, Philip Among memulakan gabungan baharu ini bulan lalu. Tujuh parti politik bersetuju menjadi sebahagian daripadanya dan kami menjangkakan lebih ramai akan menyertai gabungan ini," kata Soo.

Beliau berkata permohonan untuk mendaftarkan parti itu telah dibuat dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

"Kami menjangkakan untuk melancarkan parti baharu ini dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi," katanya.


Saksama, pakatan pembangkang, Sarawak

Artikel Lain