suria

Pernah Kelaparan, Chee Kini Bantu Gelandangan

Rick Chee.

RICK Chee tahu apa itu erti kelaparan kerana beliau datang dari sebuah keluarga besar.

Mempunyai 11 abang dan tiga kakak manakala ayahnya pula hanya bekerja sebagai pemandu lori, Chee pernah melalui pengalaman berkongsi sepinggan nasi dengan sambal kosong sahaja.

"Tidak kisah bagaimana anda menilai tetapi makanan memang tidak pernah mencukupi. Saya pernah bergaduh dengan ahli keluarga hanya disebakan makanan. Pada saya, perbuatan membazir makanan adalah salah," katanya.

Chee yang bergelar usahawan dalam penjualan perkakasan dapur dan peralatan memasak secara komersial untuk hotel dan restoran selama 30 tahun, tidak pernah lupa asal usul kehidupannya.

Apabila melihat terlalu banyak pembaziran makanan manakala gelandangan pula menahan kelaparan, Chee benar-benar dapat merasai perasaan mereka yang kurang bernasib baik itu.

Tiga tahun lalu, beliau menubuhkan Yayasan Bantuan Makanan (FAF) bagi mengelakkan pembaziran dengan mengagihkan lebihan makanan kepada individu yang memerlukan.

Penubuhan yayasan tersebut bertujuan untuk mengumpul lebihan makanan halal dari hotel dan restoran, makanan mentah dari pasar borong, makanan yang menghampiri tarikh luput tetapi masih boleh digunakan untuk diedarkan pada golongan tidak bernasib baik.

Sejak dua tahun lalu, Chee berurusan secara teknikal, logistik dan isu berkaitan undang-undang dan liabiliti mengenai sumbangan makanan bagi meyakinkan individu yang terlibat di dalam industri itu menggunakan idea tersebut.

Bulan lalu, Hotel Bangi-Putrajaya menjalin kerjasama dengan FAF dalam menyediakan makanan lebihan bufet Ramadan untuk diagihkan kepada golongan gelandangan.

Pengurus Operasi Restoran Hotel, Chef Lee Chan Hee berkata kemajuan teknologi pada hari ini membolehkan makanan dimasak dalam tempoh yang dikehendaki.

Makanan yang sudah dimasak dibekukan untuk memastikan kesegarannya.

Hotel menyimpan makanan di dalam beg dan dibekukan pada suhu -18°C untuk memastikan ia sentiasa segar.

Setiap beg juga dilabelkan dengan nama hidangan, tarikh dimasak dan nama chef yang memasak hidangan itu.

Apabila diperlukan, makanan tersebut hanya perlu dipanaskan pada suhu melebihi 60°C sebelum dihidangkan.

"Dengan menggunakan teknologi ini, tidak ada pencemaran. Makanan lebih segar dan selamat untuk dimakan," kata Chef Lee.

Untuk hidangan bufet, kebiasaannya makanan yang tidak habis akan dibekukan menggunakan teknologi tersebut tetapi jika lebihan makanan tidak digunakan, ia akan serahkan kepada FAF.

FAF berjaya mengumpul kira-kira 150 kilogram lebihan makanan dari hotel dalam tempoh 10 hari.

Chee bekerjasama dengan Hotel Bangi-Putrajaya dalam mengagihkan lebihan makanan kepada golongan memerlukan.

Makanan yang diambil akan dihantar ke dapur FAF yang dilengkapi peralatan khas termasuk bilik penyejuk beku, peti sejuk dan alat khas pemanas makanan.

Yayasan ini turut mengunakan bekas makanan bersih dan sebuah trak akan mengangkut makanan dari hotel ke dapur FAF.

FAF juga akan memastikan makanan tersebut selamat dihantar kepada badan kebajikan.

"Saya menghabiskan masa selama dua tahun setengah untuk mendapatkan makanan di sana sini selain meyakinkan semua pemain industri mengambil bahagian menerusi lebihan makanan mereka.

"Orang ramai akan mempercayai saya kerana saya mempunyai sekumpulan tenaga pakar di belakang saya," kata Chee.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain