suria

Sate Warna-Warni Dapat Permintaan Tinggi Menjelang Aidilfitri

KEMAMAN: Sate warna-warni? Mungkin agak pelik didengari namun kelazatannya tetap terasa walaupun tidak seperti warna lazimnya.

Sate warna-warni ini menjadi fenomena baharu di Terengganu khususnya di daerah Kemaman malah ia mendapat permintaan yang tinggi menjelang Aidilfitri untuk dijadikan juadah hari raya.

Pengusahanya, Muhammad Zulhanif Hazman, 22, berkata permintaan terhadap sate ayam warna-warni yang dihasilkannya sejak empat bulan lalu meningkat sekali ganda pada bulan ini.

"Alhamdulillah, sate warna-warni yang terdiri daripada empat warna iaitu kuning, biru, merah dan hijau, mendapat permintaan tinggi terutamanya menjelang hari raya ini berbanding bulan-bulan biasa tempahan tak sampai 15 ribu cucuk.

"Saya berniaga sate ayam dan daging sejak lima tahun lalu namun idea untuk membuat sate warna-warni ini tercetus selepas mendapat nasihat daripada pembimbing program Empower Ecer yang saya sertai di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)...mereka nasihatkan saya untuk cetuskan kelainan sebab sekarang orang sukakan kelainan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya di sini, Ahad.

Muhammad Zulhanif berkata sate berwarna yang dihasilkannya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan beliau menggunakan ramuan turun-temurun yang diwarisi nenek serta ibunya.

"Rasa sate warna-warni ini juga lebih enak dan sate ini turut dihidangkan bersama kuah kacang, bawang dan timun, sama seperti sate lain...apa yang berbeza ialah rasanya yang lembut dan menyelerakan...tambahan pula sate yang saya hasilkan tidak dicampur dengan kulit ayam," katanya.

Muhammad Zulhanif berkata meskipun menerima kritikan daripada orang ramai pada awalnya kerana menghasilkan sate yang berlainan dari kebiasaan, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencipta kelainan.

"Bagi orang muda, mereka cakap sate saya 'hipster' dan menjadi satu menu yang wajib dicuba bila datang ke Kemaman sebab di tempat lain tak ada...tapi ada juga yang cakap, 'sate apa macam ni warna-warni'...tapi bila mereka mencubanya, pasti mereka tak akan menyesal. 

Katanya sate ayam dan daging juga turut mendapat permintaan yang tinggi pada bulan ini dan beliau telah sediakan hampir 60,000 cucuk sate untuk Aidilfitri berbanding jualan hari biasa tidak sampai 30,000 cucuk sebulan.

Muhammad Zulhanif berkata kedainya turut dikunjungi pelanggan dari Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang, serta turut menerima tempahan daripada syarikat di sekitar daerah tersebut untuk majlis berbuka puasa.

"Sekarang pun, kami masih buka untuk tempahan sate sehinggalah malam raya dan kami juga bersedia untuk menerima tempahan untuk majlis rumah terbuka.

"Sate warna-warni dan sate ayam saya jual 0.70 sen secucuk manakala bagi sate daging, saya jual dengan harga 0.90 sen secucuk," katanya.

Seorang daripada pelanggan, Hazim Husaini, 35, dari Dungun berkata beliau sanggup menempuh perjalanan hampir satu jam dari rumahnya semata-mata untuk menempah sate warna-warni yang dihasilkan Muhammad Zulhanif.

"Saya memang menggemari sate warna-warni ini sebab rasanya lebih enak...saya tahu mengenai kedai ini selepas kawan-kawan 'post' di Facebook mengenai sate warna-warni yang dikatakan menjadi trend sekarang...pada awalnya agak pelik, tapi bila dah sekali cuba, memang rasanya sangat sedap.

"Untuk raya ni saya tempah sate warna-warni sebab nakkan kelainan, memang jarang orang jual sate warna-warni dan boleh dikatakan ini kedai yang pertama jual sate berwarna di negeri ini," katanya yang menempah 200 cucuk sate  warna-warni dan 100 cucuk sate daging.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain