suria

Pembangkang Percaya Mereka Mengatasi Undang-Undang - Noh

Noh Omar.

PUTRAJAYA: Pembangkang mencetuskan kemarahan terhadap penangkapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana percaya ia mengatasi undang-undang, kata Tan Sri Noh Omar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu dilantik itu berkata pemimpin pembangkang bersikap double standard apabila melibatkan isu berkaitan keadilan.

"Apabila kes membabitkan penangkapan seseorang, bagi mereka ia okay jika melibatkan pemimpin Umno atau Barisan Nasional (BN). Namun apabila ia berlaku terhadap pemimpin pembangkang, mereka tidak boleh disentuh. Itulah pembangkang.

"Pembangkang fikir bahawa mereka adalah Tuhan. Oh, anda tidak boleh sentuh kami. Mereka tidak boleh disentuh seperti Tuhan. Mereka fikir mereka semua baik," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini Khamis.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu menegaskan bahawa tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang dan sesiapa yang mencabarnya perlu menanggung akibatnya.

"Ia adalah satu perkara normal. Tiada siapa mengatasi undang-undang. Jika mereka melanggar undang-undang, mereka akan disiasat.

"Ini bukan kali pertama seorang ketua menteri disiasat atau didakwa. Ada menteri-menteri dan juga menteri besar yang telah disiasat.

"Undang-undang tidak melihat perbezaan antara Umno dan DAP. Sesiapa yang melanggar undang-undang akan disiasat. Undang-undang tidak mengambil kira sama ada anda kerajaan atau pembangkang. Sama ada anda orang biasa atau profesional," katanya.

Mengenai sama ada Lim perlu mengambil cuti sementara menunggu perbicaraan, Noh berkata beliau merasakan Ahli Parlimen Bagan itu tidak akan berbuat demikian.

"Beliau tidak akan mengambil cuti. Kami tahu sikap mereka (pembangkang), mereka bersuara jika ia berlaku kepada orang lain. Namun apabila terkena mereka, mereka tidak akan melakukannya.

"Saya percaya beliau tidak akan meletak jawatan atau mengambil cuti. Malah beliau akan terus bekerja kerana fikir dirinya betul.

"Saya tidak mahu mencabar Guan Eng untuk mengambil cuti kerana saya tahu beliau akan meneruskan tugasnya. Itu sikapnya," kata Noh.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata dalam Umno, seorang pemimpin yang didakwa di mahkamah akan digugurkan dan digantung dengan serta-merta tanpa mengira jawatannya.

"Lihat di Selangor, berapa ramai pemimpin Umno digugurkan dalam bahagian sebelum ini? Malah ketua bahagian turut dikenakan tindakan.

"Namun pembangkang tidak seperti itu, walaupun pemimpin dipenjarakan jawatannya masih kekal," katanya.


Noh Omar, Lim Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain