suria

Ditahan Kerana Berlagak Sebagai Polis Pengiring

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang berlagak sebagai anggota polis trafik yang mengiringi konvoi bermotosikal dengan motosikal berkuasa tingginya ditahan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, Selasa malam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Shafie Daud berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan ketika sepasukan polis sedang membuat rondaan di kawasan terbabit kira-kira pukul 10.45 malam.

"Kehadiran lelaki itu disedari apabila dia yang mengiringi kumpulan konvoi itu membunyikan siren dan menyalakan lampu mata arah seperti yang dilakukan  anggota polis trafik yang melakukan tugas mengiring," katanya pada sidang media pada Rabu.

Beliau berkata motosikal Harley Davidson yang ditunggang individu terbabit yang berkapasiti enjin 1600cc dan bernilai RM155,000 yang turut tertera perkataan 'POLICE' kemudiannya dirampas.

Siasatan awal mendapati kenderaan yang mempunyai pelekat tertera perkataan 'Polis Metropolitan Las Vegas' pada bahagian kiri dan kanan kotak motosikal itu didaftarkan atas nama individu lain yang polis akan turut memanggil pemiliknya bagi membantu siasatan, katanya.

Shafie berkata pelaku tersebut merupakan seorang jurujual sambilan motosikal berkuasa tinggi dan dia telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

"Polis juga sedang mengesan dua lagi individu yang memandu kereta jenis Toyota Alphard dan Proton Preve yang dipercayai turut terlibat dengan aktiviti mengiring secara haram itu," katanya.

Beliau berkata mereka diminta tampil bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1997 kerana melakukan kesalahan mengiring atau kawalan yang dikhaskan untuk pasukan Polis Diraja Malaysia dan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Shafie berkata setakat ini pihaknya menerima enam kes berkaitan aktiviti sedemikian yang boleh mengundang kekeliruan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Polis

Artikel Lain