suria

Nancy: Malaysia Makin Hampir Pinda Hukuman Mati

KUCHING: Malaysia kini semakin hampir untuk meminda undang-undang berkaitan hukuman mati mandatori, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Nancy memberitahu Kongres Dunia Menentang Hukuman Mati di Oslo, Norway, baru-baru ini bahawa satu kajian yang disokong kerajaan mengenai hukuman mati telah selesai dan kertas kerja mengenainya sedang disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Terdapat tanda-tanda positif di Malaysia dan momentum yang stabil terhadap perubahan yang mungkin berlaku dalam undang-undang hukuman mati," kata Nancy.

Kajian ini telah dijalankan oleh Pusat Antarabangsa Untuk Undang-undang dan Pengajian Perundangan (I-Cells).

Perundingnya ialah Profesor Emeritus Kriminologi dari Oxford, Profesor Dr Roger Hood.

Pada masa ini di Malaysia, hukuman mati adalah wajib bagi 12 kesalahan manakala 20 kesalahan lain boleh dihukum dengan hukuman mati mengikut budi bicara.

Pembunuhan, pengedaran dadah, dan kesalahan yang berkaitan dengan keselamatan adalah contoh-contoh kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati.

Nancy Shukri

Artikel Lain