suria

Songkok Tiruan JDT Dirampas

JOHOR BARU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor merampas 33 songkok menggunakan logo jenama pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Southern Tigers disyaki tiruan di sebuah gerai di Bazar Ramadan Taman Suri, di sini, Ahad.

Timbalan Ketua Penguatkuasa PPDNKK Johor Rizq Fazliana Abd Hamid berkata rampasan dilakukan kira-kira 1.30 tengah hari oleh lima penguat kuasa PPDNKK Johor dan empat anggota polis selepas melakukan pemantauan serta risikan selama seminggu.

"Tindakan merampas kesemua songkok bernilai RM2,145 itu juga dilakukan selepas pihak PPDNKK Johor menerima aduan daripada pemilik jenama JDT Southern Tigers iaitu Southern Tigers Sdn Bhd," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Rizq Fazliana berkata setiap songkok berwarna merah dan biru bersaiz dewasa terbabit dijual pada harga RM65 dan mula dijual di bazar tersebut bagi sambutan Aidilfitri sejak awal Ramadan lepas.

Beliau berkata pihaknya sudah merekodkan keterangan peniaga songkok terbabit yang berumur lingkungan 30-an untuk siasatan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

Katanya pihaknya akan menggiatkan operasi sama ke atas mana-mana premis yang menjual barangan tiruan berjenama dan menasihatkan orang ramai supaya  berhati-hati dalam melakukan pembelian setiap barangan di pasaran.

Sementara itu, Pengurus Besar Southern Tigers Sdn Bhd Raja Fouzeel Akmal Raja Zainal meminta para peniaga supaya mendapatkan kebenaran daripada pihaknya sebelum memasarkan sesuatu barangan berkaitan jenama JDT Southern Tigers.

Raja Fouzeel Akmal berkata pihaknya mengesan penjualan songkok terbabit sejak dua tahun lepas, namun, mula mengadu kepada PPDNKK Johor tahun ini selepas selesai urusan pendaftaran jenama JDT Southern Tigers dengan pihak berkuasa, tahun lepas.

"Southern Tigers Sdn Bhd sebenarnya tidak pernah mengeluarkan produk songkok untuk dijual kepada orang ramai. Barangan rasmi yang dijual hanyalah jersi, baju T, mafla, mug dan topi," katanya. - BERNAMA

songkok, JDT, logo tiruan

Artikel Sebelum

Artikel Lain