suria

Penyelidik Malaysia Terima Anugerah Sains Bioperubatan Di UK

PETALING JAYA: Penyelidik muda kelahiran Malaysia, Norul Hernani Abd Latif mencipta sejarah tersendiri apabila menerima Hadiah Utama dalam Anugerah Sains Bioperubatan 2016 di Scotland, United Kingdom baru-baru ini.

Norul Hernani, pelajar peringkat sarjana (PhD) dari University of Aberdeen, Scotland itu diiktiraf berikutan pencapaian cemerlangnya dalam kajian mengenai risiko tersembunyi asap rokok terpakai (SHS) kepada masyarakat.

Norul Hernami bersama anugerah yang dimenanginya.
Hadiah utama yang dimenanginya itu merupakan anugerah tahunan untuk mengiktiraf individu yang telah memberi sumbangan cemerlang dalam bidang penyelidikan yang membabitkan awam.

Norul Hernani yang berasal dari Kuala Lumpur mengambil masa selama dua tahun untuk memberi kefahaman mengenai risiko tersembunyi asap rokok terpakai kepada pelbagai kumpulan masyarakat.

Selain itu, beliau turut memastikan maklumat mengenai Sains Bioperubatan dapat dicapai oleh generasi muda, warga tua dan keluarga mereka di seluruh United Kingdom dan Malaysia.

"Saya sangat berbesar hati menerima anugerah ini. Sebagai seorang penyelidik, diharap kerja-kerja pendedahan dan pemantauan mengenai SHS dapat membantu melindungi generasi akan datang.

"Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua penyelidik dalam bidang Sains Bioperubatan di seluruh dunia dan ia membuktikan bahawa menjadi seorang saintis adalah sesuatu yang menyeronokkan dan penuh mencabar. Ia benar-benar berbaloi," kata Norul Hernani.


Norul Hernani menerima anugerah yang disampaikan Naib Canselor University of Aberdeen, Prof Sir Ian Diamond.

Sebelum ini, Norul Hernani pernah menerima dua lagi pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah Speaker Tahun Pertama Terbaik di Simposium Musim Panas University of Aberdeen 2014 dan Anugerah Internship Global sempena Persidangan Saintifik ke-10 IOHA Antarabangsa di London pada 2015.

Norul Hernani kini sedang menjalankan penyelidikan di syarikat minyak dan gas terbesar di dunia mengenai asap tembakau kepada persekitaran di beberapa pelantar minyak di sekitar Laut Utara Scotland.

Pelajar tajaan Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu akan menamatkan pengajiannya tahun depan.

Artikel Lain