suria

Kontraktor Terowong Dasar Laut Nafi Kajian Kebolehlaksanaan Ditangguh

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

GEORGE TOWN: Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, kontraktor projek terowong dasar laut Pulau Pinang pada Rabu menafikan bahawa kajian kebolehlaksanaan projek itu ditangguh.

Penafian itu dibuat 24 jam selepas kenyataan Pengerusinya Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada sidang akhbar di Kuala Lumpur bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang mengarahkan penangguhan kajian kebolehlaksanaan projek itu bulan lepas.

Hari ini (Rabu), pada sidang akhbar di sini, Zarul Ahmad mengakui berlaku kesilapan dalam kenyataannya semalam (Selasa) dan berkata kajian itu masih berjalan seperti biasa.

"Mungkin disebabkan bulan puasa...Saya perlu membetulkan kenyataan saya semalam (Selasa) kerana kajian kebolehlaksanaan masih diteruskan dan terowong dasar laut itu dijadual siap pada 2027," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di sini Rabu.

Beliau berkata kajian kebolehlaksanaan terowong itu akan disiapkan dalam tempoh enam bulan lagi tanpa sebarang penangguhan tetapi tumpuan kini adalah untuk menyiapkan tiga pakej lebuh raya iaitu Jalan Pesisir Pantai Utara (menghubungkan Tanjong Bungah dan Teluk Bahang), Lebuh Raya Pintasan Ayer Itam-Tun Dr Lim Chong Eu dan Lebuh Raya Pintasan Persiaran Gurney-Tun Dr Lim Chong Eu.

"Projek itu telah berjalan mengikut jadual dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada tahun 2022," katanya.

Kenyataan kontraktor itu bagaimanapun bercanggah dengan maklum balas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pulau Pinang Lim Hock Seng yang ketika dihubungi mengakui bahawa kerajaan negeri telah memberitahu pihak kontraktor bahawa kerja-kerja kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu perlu ditangguhkan.

Hock Seng yang kini berada di luar negara berkata penangguhan itu berikutan permohonan kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga.

"Ya, kami telah memberitahu mereka untuk menangguhkan kajian kebolehlaksanaan itu sehingga kami mendapat jawapan kerajaan pusat berhubung permohonan jambatan ketiga," katanya.

Hock Seng sebelum ini pernah mengumumkan bahawa kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut yang dilakukan oleh pihak kontraktor telah 83 peratus siap.

Zarul Ahmad pada sidang akhbarnya semalam (Selasa) dilapor berkata kerajaan negeri Pulau Pinang mahu kajian yang menelan kos RM100 juta itu yang sudah 83 peratus siap, ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti, tanpa memberikan sebarang alasan.

"Kami menerima arahan untuk menghentikan kajian daya maju itu bulan lepas. Tiada alasan diberikan, mereka hanya mahu kami menumpukan kepada membina cadangan tiga jalan raya utama di negeri itu secepat mungkin," katanya.

Terowong bawah laut itu yang menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam, merupakan sebahagian daripada projek Jalan Raya dan Terowong Utama Pulau Pinang (PMRT) yang bernilai RM6.3 bilion, satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.

Projek itu juga dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan, memudahkan pindahan teknologi dan kemahiran teknikal daripada syarikat pembinaan bereputasi dan meningkatkan standard hidup penduduk di koridor utara.

Consortium Zenith dianugerahkan projek itu menerusi proses tender. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain