suria

Pembantu Rosmah Dihalang Jumpa Rafizi

Rafizi Ramli.

KUALA KANGSAR: Kekecohan berlaku di luar pusat operasi Amanah di sini pada Rabu apabila seorang pembantu kepada Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada sidang media yang diadakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi dijadualkan akan mendedahkan secara terperinci mengenai penggunaan jet peribadi oleh Rosmah, isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemberita pada malam Selasa dimaklumkan bahawa pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor merancang untuk hadir pada sidang media itu bagi membantah dakwaan Rafizi secara peribadi.

Rizal tiba sekitar tengah hari Rabu ditemani beberapa lelaki tidak dikenali dan dilihat berjabat tangan dengan calon Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli.

Namun, ketika mereka bertanya untuk memasuki bangunan itu, petugas Amanah menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Susulan itu berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak ketika Rafizi tiba dan menaiki tangga untuk menuju ke bilik sidang media.

Rizal dan beberapa individu lain kemudiannya meninggalkan premis selepas berulang kali dimaklumkan bahawa mereka tidak boleh memasuki premis tersebut atas alasan hanya petugas media sahaja dijemput.

Petugas media yang menunggu di dalam bilik sidang media di tingkat atas bangunan kemudiannya diminta oleh wakil Amanah untuk mengeluarkan kad media bagi mengesahkan identiti mereka.

"Kami hanya mahu memastikan bahawa tiada individu yang membuat kacau," kata Rafizi sebelum memulakan sidang media itu.


Artikel Lain