suria

Bayaran Haji Tahun Ini Kekal RM9,980 Seorang - TH

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) memutuskan untuk mengekalkan bayaran haji tahun ini pada kadar RM9,980 untuk setiap jemaah  walaupun berdepan peningkatan kos yang mencecah RM18,890 seorang.

Ahli Lembaga Pengarah TH, Tan Sri Abdul Shukor Husin berkata TH secara keseluruhannya sudah menanggung subsidi haji sebanyak RM125 juta pada tahun lepas dan menjangkakan angkat itu meningkat kepada RM160 juta bagi musim haji tahun ini.

"Pada musim haji tahun lepas, TH telah menanggung sebanyak RM7,290 bagi seorang jemaah yang membolehkan bayaran itu kekal pada RM9,980 sedangkan kos haji meningkat kepada RM17,270 seorang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program tanggungjawab korporat tahunannya, Program Ehsan TH, di sini, Rabu.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor turut menyifatkan bayaran haji RM9,980 yang dikekalkan sejak tahun 2007 sebagai sumbangan utama program tanggungjawab korporat khususnya menerusi pemberian subsidi untuk para jemaah setiap tahun.

Pada majlis hari ini (Rabu), TH menyumbang sejumlah RM315,000 kepada 630 orang asnaf fakir miskin di bawah Program Ehsan TH tahun ini.

Abdul Shukor turut menyerahkan sumbangan zakat TH dengan setiap penerima yang merangkumi warga emas, ibu dan bapa tunggal serta orang kelainan upaya  menerima wang tunai RM500.

Menerusi jelajah Program Ehsan itu, TH menyasarkan sumbangan RM2.2 juta kepada 4,408 asnaf fakir maskin di seluruh negara.

Program Ehsan yang dilaksanakan pada bulan Ramadan, bertujuan meringankan beban kewangan golongan asnaf membuat persiapan menyambut Syawal selain menjadi platform TH mendekati dan memahami permasalahan komuniti setempat.

Usaha tanggungjawab korporat lain TH termasuk Program Mobiliti membabitkan sumbangan kenderaan pelbagai guna untuk masjid-masjid terpilih, Program Baiti (membina serta baik pulih rumah) dan Program Iqra'(pendidikan) di seluruh negara. - BERNAMA

Tabung Haji, bayaran haji

Artikel Lain