suria

Tiada Virus Zika Dikesan Setakat Ini

KUALA LUMPUR: Tiada virus Zika yang dikesan di Malaysia setakat ini, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata bagaimanapun, kementerian tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan menguji mana-mana sampel denggi bagi mengelakkan penularan penyakit bawaan nyamuk itu ke negara ini.

"Sehingga Jun, 404 sampel denggi telah diuji tetapi tiada kes denggi. Namun kementerian telah mengambil dan menguji sampel itu untuk ujian berkaitan virus Zika. Didapati semua sampel itu negatif," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah.

Dr Hilmi berkata sehingga Jun, 173 pelawat dan pelancong yang berkemungkinan terlibat dengan virus Zika juga telah disaring sebaik tiba di mana-mana lapangan terbang antarabangsa negara.

"Kesemua pintu masuk memang ada kawalan. Mana-mana kes yang disyaki, kami akan bertindak dengan membawa mereka ke pusat kesihatan di lapangan terbang," katanya.

Negara yang disahkan terlibat dengan virus itu ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Curacao, Republik Dominica, Ecuador, El Salvador, Guiana Perancis, Guadaloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Surinam, Virgin Islands (Amerika Syarikat) dan Venezuela. - BERNAMA

Artikel Lain