suria

Jambatan P.Pinang: Kementerian Kerja Raya Masih Tunggu Dokumen Kerajaan Negeri

Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya masih menunggu semua dokumen berkaitan cadangan jambatan ketiga Pulau Pinang daripada kerajaan negeri itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya tidak menerima sebarang dokumen setakat hari ini (Selasa) seperti yang dijanjikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Ahad lepas untuk menyerahkan semua dokumen berkaitan.

"Kalau nak kelulusan sesuatu projek, mereka (kerajaan Pulau Pinang) perlu hantar semua dokumen untuk menyokong cadangan projek mereka. Lagi-lagi kalau projek yang menelan kos yang besar, kajian sama ada terdapat impak kepada trafik, alam sekitar dan sosial juga harus dilakukan.

"Lim kata mereka telah menjalankan kajian, jadi serahkan hasil kajian itu kepada kami sebagai dokumen sokongan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lim yang bersedia mengemukakan semua dokumen dan menjalankan semua kerja teknikal dan spesifikasi yang diperlukan oleh kementerian berkaitan cadangan projek itu.

Fadillah berkata pada 26 Mei lepas, Lim telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memohon kelulusan bagi pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar sebagai respons kepada beberapa pertanyaan mengenai projek terowong dasar laut yang dicadangkan sebelumnya dan merujuk salinan surat itu kepada beliau.

Fadillah berjanji kementeriannya akan membuat penilaian yang adil terhadap cadangan jambatan itu dan memohon kerjasama kerajaan negeri untuk berkongsi dokumen berkaitan.

Ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar tempatan semalam yang menyebut kerajaan akan membuat keputusan muktamad mengenai jumlah kenaikan kadar tol di lapan lebuh raya di negara ini, Fadillah berkata rundingan bersama pihak yang berkaitan masih lagi berjalan.

Katanya, belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini berhubung kenaikan kadar tol itu dan kerajaan tidak pasti bila rundingan tersebut dimuktamadkan.

Lapan lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Link Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

Empat lebuh raya lagi ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Butterworth-Kulim Expressway (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB). - BERNAMA

Artikel Lain