suria

Azmin Bakal Muncul Di Sungai Besar Petang Ini

Mohamed Azmin Ali.

PETALING JAYA: Datuk Seri Azmin Ali yang 'hilang' akan melakukan penampilan pertama pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, petang Selasa.

Malah Menteri Besar Selangor itu akhirnya menyokong calon Amanah pada PRK Sungai Besar yang menyaksikan PAS dan Barisan Nasional turut bertanding merebut kerusi berkenaan.

Azmin akan berkongsi pentas dengan calon Amanah, Azhar Abdul Shukor dalam satu majlis 'Ifta Perdana' di Dewan Kampung Hala Cara Baru, sebuah perkampungan Melayu di Sungai Besar.

Poster majlis itu menunjukkan Azmin dan Azhar, kedua-duanya yang memakai baju Melayu berwarna jingga tersebar luas di laman media sosial.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengambil pendekatan secara diplomatik sejak permulaan kempen kerana enggan menyinggung perasaan PAS yang memberi sokongan terhadapnya semasa krisis Menteri Besar Selangor.

Ketiadaan Azmin sepanjang kempen pada PRK itu yang berlangsung di negeri di bawah pentadbirannya menjadi bahan kempen untuk lawan Amanah.

Azmin tidak menghadiri ceramah atau tinjauan mesra di Sungai Besar walaupun jarak perjalanan hanya memakan masa selama satu jam setengah dengan menggunakan kereta dari Shah Alam.

Poster Azmin bersama calon Amanah, Azhar menjadi viral di media sosial.

Pemimpin PKR memberikan pelbagai alasan termasuk beliau sibuk dengan urusan lain dan beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama Sultan Selangor.

Ini amat berbeza dengan tempoh sebelum kempen apabila beliau akan menunaikan solat subuh di masjid berbeza dan beramah mesra dengan penduduk setempat di pasar pagi.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar berkata Azmin amat komited untuk membantu kempen PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar yang diadakan serentak pada 18 Jun ini.

"Kehadirannya bermula hari ini akan menaikkan semangat dan jentera kempen Pakatan Harapan," kata Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.

Majlis pada petang Selasa merupakan satu langkah besar yang dilakukannya dengan memihak Amanah yang bergelut dalam kempen PRK Sungai Besar.

Tiada maklumat lanjut disediakan mengenai majlis berbuka puasa diikuti solat maghrib dan solat terawih.

Namun, sumber berkata Azmin tidak mungkin membuat sebarang kenyataan atau ceramah politik.

Amanah akan menentang calon BN, Budiman Mohd Zohdi dan Dr Rani Osman yang mewakili PAS pada 18 Jun ini.



Amanah, PAS, BN, Azmin Ali, PRK Sungai Besar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain