suria

Pesalah Pedofil Cari Mangsa Guna Gajet

PETALING JAYA: Seorang lelaki menempah bilik hotel untuk satu temu janji dan kemudian perbuatannya itu berjaya dirakam menerusi kamera apabila mendedahkan dia melakukan hubungan seks dengan gadis seawal usia 13 tahun.

Ini antara bahan yang berjaya dikumpul wartawan R.AGE The Star yang melakukan penyamaran untuk temu janji tersebut.

Enam bulan sebelum pesalah pedofil warga Britain Richard Huckle menggemparkan dunia, wartawan R.AGE sudah memulakan operasi penyamaran bagi mengesan pesalah seks.

Sepanjang tempoh itu, R.AGE mengumpul segala bahan-bahan termasuk gambar dan mesej lucah serta rakaman kamera tersembunyi semasa operasi penyamaran wartawan di lokasi.

Malaysia tidak mempunyai undang-undang terhadap latihan seksual (sexsual grooming) yang merujuk kepada proses mendapat kepercayaan kanak-kanak untuk mengeksploitasi seks pada masa hadapan walaupun statistik menunjukkan bilangan kes itu semakin meningkat.

Aplikasi laman sembang mudah alih seperti WeChat dan BeeTalk merupakan alat utama untuk pesalah seks di Malaysia.

Ia berdasarkan statistik yang disediakan Bukit Aman.

Sejak 2015, kira-kira 80 peratus kes rogol melibatkan pesalah seks yang mula mendekati mangsa dengan aplikasi secara dalam talian itu.

Semasa operasi itu, R.AGE bersemuka dengan salah seorang pesalah seks yang mengajak wartawan yang melakukan penyamaran itu untuk bertemu dan menghantar gambar alat kemaluannya.

"Ia adalah satu permainan nombor.

"Di laman WeChat, anda boleh mencari individu berdekatan anda dan menapis mereka berdasarkan jantina. Selepas saya menapis semua lelaki, saya hanya menghantar mesej kepada seramai mungkin gadis," kata pelajar pasca siswazah berusia 28 tahun yang mengakui ketagih seks.

Pesalah seks itu kemudian mula melayan gadis yang menjawab mesej yang dihantarnya.

Mereka akan mendapat kepercayaan kanak-kanak itu dan sedikit demi sedikit memperkenalkan seks di dalam perbualan mereka.

Seorang lelaki mendakwa dirinya pakar dalam bidang urutan dan dia telah melakukan hubungan seks dengan sekurang-kurangnya dua budak perempuan dibawah umur 15 tahun.

Fenomena ini ternyata memberi tamparan hebat kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak polis (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Ong Chin Lan.

"Jika kita ada undang-undang latihan seksual, pihak berkuasa mungkin dapat menangkap pemangsa seks seperti Huckle lebih awal.

"Kita perlu memperkasakan agensi penguatkuasaan undang-undang kita," kata Ong.

pedofil, WeChat, BeeTalk, Richard Huckle

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain