suria

Polis Lancar Op Soga V1 Banteras Pertaruhan Sempena Euro 2016

PETALING JAYA: Polis telah melancarkan operasi Soga V1 bagi membanteras perjudian bola sepak sepanjang berlangsungnya saingan Euro 2016.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rosli Chik berkata, operasi tersebut telah dilancarkan pada 1 Jun lalu dan pemantauan digerakkan ke seluruh negara.

"Kita telah lancarkan operasi untuk membanteras perjudian atau pertaruhan melibatkan saingan Euro 2016 sejak awal bulan ini.

"Operasi Soga V1 yang telah digerakkan ke seluruh negara itu akan berakhir pada 10 Julai depan, iaitu selepas kejohanan berkenaan tamat," katanya kepada mStar Online.

Beliau menambah, tiada tangkapan dibuat selepas enam hari operasi Soga V1 dilancar.

Rosli berkata, dalam operasi Soga V yang dilancar sempena kejohanan Piala Dunia pada 2014, polis telah melakukan sebanyak 831 serbuan di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 346 serbuan berjaya menghasilkan tangkapan dan rampasan. Seramai 414 lelaki dan 10 wanita telah ditahan dalam oeprasi tersebut.

"Kita juga berjaya merampas sebanyak RM454,088 wang pertaruhan tempatan dan AS$11,698 bagi wang asing.

"Hasil siasatan, kita dapati sebanyak RM120 juta pertaruhan telah dibuat secara dalam talian," jelasnya berkaitan operasi Soga V yang bermula pada 26 Jun dan berakhir pada 14 Julai 2014.

Ops Soga

Artikel Lain