suria

PAS, Amanah Miliki DNA 'Ekstrem' Yang Sama - Liow

Liow beramah mesra dengan penduduk Kg Baru Jerlun.

KUALA KANGSAR: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa pengundi Cina di Kuala Kangsar untuk menolak PAS dan kumpulan serpihan parti Islam itu, Amanah kerana kedua-duanya merupakan parti ekstrem.

Beliau memberitahu masyarakat Cina di Kg Baru Jerlun di sini Jumaat bahawa kedua-dua parti itu mahu menjadikan Malaysia sebuah negara teokratik.

"Tidak ada puak liberal dalam Amanah atau PAS. Kedua-dua mempunyai DNA yang sama. Satu parti ekstrem dan satu lagi lebih ekstrem," katanya.

Amanah diwakili calonnya profesor fizik, Dr Ahmad Termizi Ramli manakala PAS mempertaruhkan calonya, Dr Najihatussalehah Ahmad yang juga Ketua Dewan Muslimat Perak.

Liow turut menggesa pengundi Cina untuk menolak DAP kerana ia telah memperdayakan mereka untuk mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Beliau berkata undi untuk calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid akan menghantar mesej kuat kepada PAS dan Amanah bahawa masyarakat Cina menolak dasar ekstremis seperti hudud.

Liow dalam rangka lawatan sehari ke Kuala Kangsar untuk membantu kempen BN.

Beliau turut diiringi isterinya, Datin Seri Lee Sun Loo, Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon dan beberapa pemimpin parti lain.


PAS, Amanah, Liow Tiong Lai, ekstrem

Artikel Lain