suria

Bapa Merindui Umi Azlim Yang Masih Ada Di Penjara China

Mohamad Lazim Jusoh, 59, (kanan) bersama anak bongsunya Muhamad Azlimuslim, 18, menatap gambar Umi Azlim.

PASIR PUTEH: Setibanya bulan Ramadan, Mohamad Lazim Jusoh, 59, terkenang-kenang kepada anaknya yang masih dipenjarakan di Guangzhou, China kira-kira sembilan tahun lalu.

Beliau berkata anak sulungnya itu Umi Azlim, 32, akan menjadi sibuk setiap kali Ramadan apatah lagi menjelang Aidilfitri kerana menyiapkan pelbagai kuih raya.

"Ia merupakan kegemarannya selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah (Unimas)," katanya kepada Bernama di Kampung Cherang Tuli di sini.

Pada 2007, Umi Azlim dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah China selepas didapati bersalah menyeludup lebih dua kilogram heroin ke negara itu.

Namun hukuman tersebut diringankan kepada penjara seumur hidup. 

Pada 2014, kerajaan China memaklumkan pula bahawa Umi Hazlim hanya perlu menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun lagi.

Mohamad Lazim yang merupakan pesara tentera berkata kali terakhir beliau menerima panggilan telefon daripada Umi Azlim ialah dua bulan lepas untuk bertanya khabar tentang keluarganya dan dia sempat bercakap dengan adik-adiknya.

Beliau berkata dalam perbualan selama lima minit itu, anaknya sempat memberitahu kemungkinan dia akan dibebaskan dalam tempoh tujuh tahun lagi kecuali diberi pengampunan oleh kerajaan China.

"Saya berdoa pada bulan yang penuh berkat ini agar anak perempuan saya diberi keampunan dan mendapat pembebasan lebih awal, insya-Allah," katanya.-- Bernama


Umi Azlim, China, Unimas

Artikel Sebelum

Artikel Lain