suria

Taktik Remaja Ingin Elak Bayar Denda JPN Bawa Padah

Mohammad Azlin Sadari

PETALING JAYA: Gara-gara ingin mengelak membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad, seorang remaja sanggup membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dia telah disamun tiga lelaki di Puchong pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 17 tahun itu membawa padah apabila ditahan polis kerana membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, remaja itu mendakwa telah disamun ketika berjalan berseorangan di Taman Puchong Intan sebelum didatangi suspek.

"Suspek terdiri daripada tiga lelaki yang dilaporkan menaiki dua buah motosikal. Suspek kemudian dikatakan telah memaut leher dan mengacukan pisau pada mangsa.

"Dia turut mendakwa tiga lelaki itu mengugut untuk membunuhnya sekiranya tidak menyerahkan barang berharga sebelum ditolak dan begnya dicuri," katanya.

Muhammad Azlin menambah, mangsa mendakwa ketiga-tiga suspek memakai topeng.

Jelasnya, bagaimanapun selepas siasatan dilakukan, remaja itu mengaku telah membuat laporan palsu dan dia sebenarnya kehilangan dompet berisi dokumen pengenalan diri.

"Remaja itu memberitahu ibunya berkaitan kehilangan dompet sebelum disuruh untuk membuat laporan polis kononnya dia disamun bagi mengelak denda.

"Berikutan itu, kita telah menahan remaja berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi atau membuat laporan palsu.," ujarnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain