suria

Kami Bukan Pemfitnah Alam Maya - Ahmad Maslan

Pengerusi Biro IT Umno, Datuk Ahmad Maslan (kanan) ketika melawat pusat media Pilihan Raya Kecil (PRK) P.067 Kuala Kangsar, Rabu.


KUALA KANGSAR: Kempen Media Sosial yang dilaksanakan Biro Teknologi Maklumat Umno bukan bertujuan untuk menyebarkan fitnah, sebaliknya bagi menyebarkan perkara sebenar kepada rakyat.

"Kami bukan penfitnah di alam maya," kata Pengerusi Biro Teknologi Maklumat Umno Datuk Ahmad Maslan.

Mengulas mengenai pelbagai dakwaan berunsur fitnah di laman sosial terhadap calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Ahmad berkata pihak terbabit jelas tidak beretika dalam kempen mereka.

"Kita seharusnya berkempen dengan cara yang berhemah dan memberitahu perkara yang sebenar, bukannya memfitnah.

"Tambahan pula dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita tidak harus menyebarkan berita-berita palsu atau cerita yang ditokok tambah untuk meraih undi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas biro itu di Resort Safari Sungai Perak, di sini, Khamis.

BN mengerakkan Kempen Media Sosial menerusi aplikasi Facebook, WhatsApp, Telegram dan Twitter bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar, Selangor. 

Kempen itu menyasarkan pengundi muda di kedua-dua kawasan.

"Ketika berkempen, perkara-perkara yang baik, benar harus diberitahu dan apabila menyebarkan perkara sebenar kepada rakyat maka itu sudah memadai dan mencukupi untuk memenangi hati rakyat," katanya.

Berdasarkan respons kempen biro itu di media sosial, Ahmad berkata pihaknya menerima maklum balas positif dalam kalangan golongan sasaran.

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kawasan berkenaan, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, Amanah dan Bebas, manakala di Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan Amanah.

Pengundian kedua-dua PRK itu didakan pada 18 Jun ini.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain