suria

Kenyataan Nizar Biadab - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein (tengah) beramah mesra bersama penjaja Bazar Ramadan Taman Padu Permai ketika kempen Pilihanraya Kecil P93 Parlimen Sungai Besar pada Selasa. Foto Bernama

SUNGAI BESAR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terkejut dengan kenyataan bekas Menteri Besar Perak yang mendakwa ada mesej tersirat di sebalik nahas helikopter di Sarawak sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar terpaksa diadakan.

Hishammuddin berkata, jika benar kenyataan itu dilontarkan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, ia adalah satu kenyataan yang biadab.

“Saya tengok kalau ayat-ayat begitu diluahkan dalam keadaan sebegini, saya tengok memang biadablah.

“Sebab politik dia tergamak meluahkan kata-kata sebegitu,” katanya kepada pemberita selepas program Tinjauan Mesra di Bazar Ramadan Taman Padu Permai di sini, Selasa.

Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata, beliau kenal rapat dengan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, isteri dan anak-anaknya.

Katanya, apa yang dilakukan Nizar itu adalah kelemahan dirinya sendiri, dan beliau menasihatkan pihak atau individu lain supaya tidak melontarkan kenyataan serupa bagi menjaga sensitiviti orang yang rapat dengan mangsa.

“Saya minta kalau kita tak boleh bendung Nizar sendiri luahkan kata-kata sebegitu, yang lain tak perlulah tergamak buat luahan sebegitu kerana arwah ada anak, isteri, kawan dan sahabat.

“Nak tentukan dan luahkan kenyataan sebegitu memang saya rasa biadab,” katanya.mStar Default Image

Nizar yang berucap dalam ceramah di Kampung sayong Lembah, Kuala Kangsar malam Isnin mengaitkan nahas helikopter itu dengan zaman pentadbirannya di Perak yang didakwa dirampas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Nizar berkata, Najib dan Zahid tidak menghormati hak rakyat Perak yang telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu.

“Kebiadaban Najib dan Zahid merampas kerajaan Perak ini di bumi Kuala Kangsar, maka Allah jadikan di bumi ini juga PRK terpaksa diadakan.

“Supaya orang Kuala Kangsar mengajar mereka kerana kamu kurang ajar kepada pilihan rakyat, kamu berlaku jahat, zalim kepada rakyat Perak,” kata Nizar.

Mengulas mengenai pertembungan PAS dan Amanah yang dikatakan menguntungkan Barisan Nasional, beliau berkata, BN tidak boleh bergantung kepada kelemahan lawan untuk menang.

“Kelemahan parti pembangkang saya tak anggap sebagai kekuatan kepada BN dan Umno.

"Kita kena perkukuhkan kekuatan kita sendiri  dalam apa jua keadaan. Saya tak nafi mereka ada masalah tapi kita tak boleh harap masalah mereka untuk perkuatkan parti kita,” katanya.

Artikel Lain