suria

SPRM Perlu Pandang Serius Dakwaan Rasuah Pentadbiran Kerajaan Selangor

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memandang serius laporan dibuat Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berhubung dakwaan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Beliau berkata, Rafizi yang juga Anggota Parlimen Pandan tidak akan sewenang-wenangnya mengemukakan sebarang laporan tanpa bukti, lebih-lebih lagi melibatkan dakwaan salah laku dalam pentabiran kerajaan negeri yang diterajui oleh parti beliau sendiri iaitu PKR.  

"Laporan yang dibuat beliau ini menunjukkan beliau yakin benar wujud bukti dan asas berdasarkan tuduhan beliau ini kerana ia dibuat oleh beliau terhadap kerajaan yang diterajui oleh parti beliau sendiri iaitu PKR," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Pada bulan lepas, Rafizi membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berhubung dakwaan salah laku pentadbiran kerajaan negeri Selangor selain mengemukakan maklumat dan bukti serta individu-individu yang didakwanya terlibat. 

Baru-baru ini, beberapa portal berita melaporkan kononnya terdapat amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Laporan itu dibuat berikutan pendedahan perbualan aplikasi WhatsApp Rafizi yang didakwa mendedahkan wujud permintaan ‘untuk mendapatkan wanita’ sebagai habuan dalam urusan dengan kerajaan negeri.  

Rafizi dalam perbualan itu didakwa mengatakan menerima aduan bahawa selain wang yang diminta untuk berurusan dengan kerajaan negeri, terdapat juga permintaan bagi mendapatkan wanita. 

Mengulas lanjut, Irmohizam berkata permintaan wang dan wanita untuk berurusan dengan kerajaan negeri adalah kesalahan serius dan sekiranya dakwaan itu  benar, kesemua bukti harus diberikan secara telus termasuk menamakan saksi-saksi kepada SPRM bagi melicinkan siasatan. 

"Sesuatu pentadbiran itu seharusnya tidak wujud unsur salah laku rasuah sekiranya benar-benar mengamalkan integriti dan mementingkan ketelusan," katanya. - Bernama

Irmohizam Ibrahim, SPRM, Rafizi Ramli

Artikel Sebelum

Artikel Lain