suria

'Perang Profesional' Di PRK Kuala Kangsar - Penganalisis Politik

Calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.Dari kiri - wakil calon BN mewakili Datin Mastura Mohd Yazid, Maslin Sham Razman (pencadang), Mohamad Kamil Shafie (pencadang), Calon Parti Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli, Calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dan Calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad. - fotoBERNAMA

KUALA KANGSAR: Dengan berakhirnya penamaan calon pada Ahad, maka secara rasminya bermulalah kempen 'perang profesional' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Kempen PRK Kuala Kangsar dianggap sebagai perang profesional kerana keempat-empat calon yang bertanding memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi.

Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid,55, adalah graduan undang-undang dari universiti terkemuka perundangan, Lincoln's Inn di United Kingdom dan pernah bertugas sebagai peguam selama enam tahun.

Sementara itu, calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad,50, memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hopital Kuala Lumpur.

Calon Parti Amanah Negara (Amanah) Prof Dr Ahmad Termizi Ramli,62, pula merupakan bekas profesor di Jabatan Fizik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Fizik Perubatan dari University of Swansea, Wales.

Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary,49, pula merupakan bekas pensyarah yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Senibina dari Manchester Metropolitan University, United Kingdom.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata keputusan semua parti-parti bertanding meletakkan calon yang mempunyai latar belakang prosefional memberi isyarat jelas b ahawa mereka mampu menaakul keperluan penduduk.

"Dengan latar belakang pendidikan tinggi, ia merupakan satu persaingan sihat. Ini adalah angkubah bahawa Malaysia mengamalkan kebebasan demokrasi," katanya.

Bagaimanapun, katanya latar belakang profesional itu bukan jaminan kepada penerimaan pengundi di kawasan itu kerana mereka pastinya mahukan wakil rakyat yang dapat memenuhi permintaan serta masalah mereka.

"Dalam konteks ini, strategi jentera BN harus lebih mantap termasuklah memastikan ia bukan setakat mampu memikat pengundi malah keluarga pengundi juga demi kelangsungan parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood melontarkan pandangan berbeza dengan berkata kelulusan akademik bukan satu kelebihan besar kepada mana-mana calon yang bertanding dalam PRK Kuala Kangsar.

"Sebaliknya, pengundi cuma nak tahu sejauh mana calon yang bertanding itu boleh dipercayai dalam membela nasib mereka," katanya sambil menyuarakan pendapat peribadinya bahawa Mastura boleh menang dalam PRK Kuala Kangsar.

Nik Ahmad Kamal berkata pembangkang mungkin sukar memanipulasi isu tempatan kerana ia sememangnya hampir tidak wujud namun, yakin mereka akan memainkan isu nasional yang lain.

"Tapi dengan adanya penerangan (berhubung isu nasional) daripada pihak kerajaan, saya rasa pengundi berpuas hati dan tidak akan menjejaskan potensi BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan juga senada dengan Nik Ahmad Kamal apabila menyatakan keyakinan bahawa Mastura boleh memenangi PRK itu walaupun bukan anak tempatan.

Beliau berkata walaupun Mastura berasal dari Negeri Sembilan, tetapi beliau telah menetap lebih 20 tahun di Kuala Kangsar malah, cukup dikenali oleh masyarakat setempat kerana sering mengikuti suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad ke program di kawasan Parlimen itu.

"Saya jangkakan pengundi memilih calon yang paling selesa, yang mereka kenali dan Mastura adalah yang paling sesuai.

"Walaupun calon BN tidak boleh keluar berkempen tapi ia tidak menjejaskan peluang beliau untuk menang PRK itu kerana Kuala Kangsar, yang mempunyai majoriti penduduk Melayu Islam, pasti memahami tuntutan syarak edah itu," katanya.

Mastura sebelum ini berkata beliau tidak dapat menyertai jentera BN berkempen kerana perlu menghabiskan tempoh edah selama empat bulan 10 hari berikutan kematian suaminya.

PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).  - BERNAMA

Artikel Lain